GAZA: Sekurang-kurangnya 13 rakyat Palestin, termasuk beberapa kanak-kanak, terbunuh dalam siri serangan udara terbaru Israel di Semenanjung Gaza, menurut pihak berkuasa Palestin.
Pihak Pertahanan Awam Gaza memaklumkan bahawa pesawat tentera Israel melancarkan serangan ke atas beberapa lokasi termasuk Bandar Gaza, Khan Younis dan Deir el-Balah pada Ahad malam.
Serangan itu merupakan malam kedua berturut-turut operasi ketenteraan Israel di wilayah berkenaan, beberapa hari selepas Hamas dilaporkan menerima pelan pelucutan senjata yang menyaksikan kumpulan Palestin itu menyerahkan senjatanya kepada Board of Peace yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berkata operasi tersebut menyasarkan anggota militan di Gaza dan mendakwa dua pejuang Hamas terbunuh dalam serangan berkenaan.
Menteri Tenaga Israel, Eli Cohen, pada Ahad menegaskan bahawa tiada sebarang perjanjian dicapai untuk menghentikan serangan ke atas Gaza, yang kini dilaporkan berada di bawah kira-kira 70 peratus kawalan Israel.
Beliau turut menyatakan bahawa Gaza perlu diletakkan di bawah kawalan penuh Israel sekiranya Hamas enggan melucutkan senjata, walaupun pelan Board of Peace mencadangkan pengunduran tentera Israel dari wilayah itu.
Dalam satu hantaran di platform X, IDF mendakwa telah membunuh dua komander Hamas, termasuk seorang anggota pasukan elit Nukhba dan seorang lagi daripada Batalion Maghazi.
Tentera Israel juga mendakwa seorang anggota Hamas daripada Batalion Jabalia di utara Gaza terbunuh dalam serangan berasingan minggu lalu. Menurut IDF, ketiga-tiga individu itu dipercayai sedang merancang serangan terhadap sasaran Israel.
Sementara itu, pegawai kesihatan Palestin melaporkan dua orang, termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh dalam serangan ke atas sebuah bangunan kediaman di Bandar Gaza, manakala seorang lagi maut berhampiran Jabalia di utara wilayah itu.
Di Khan Younis, sepasang suami isteri bersama anak lelaki mereka yang berusia sembilan tahun dilaporkan terbunuh apabila sebuah rumah menjadi sasaran serangan udara.
Di Deir el-Balah pula, seorang lelaki dan seorang wanita maut selepas bangunan pangsapuri yang mereka diami diserang.
Menurut laporan pihak Palestin, lebih 1,100 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata yang sepatutnya berkuat kuasa pada Oktober tahun lalu.
Minggu lalu, Trump mengumumkan bahawa Board of Peace telah mencapai persetujuan bagi pelucutan senjata sepenuhnya oleh Hamas dan kumpulan bersenjata lain di Gaza.
Pada Jumaat, beliau menyifatkan cadangan itu sebagai satu “langkah besar bagi Asia Barat” dan mendakwa Israel menyambut baik perjanjian tersebut.
Bagaimanapun, Israel masih sangsi terhadap kesediaan Hamas untuk menyerahkan senjata dan melepaskan kawalannya di Gaza.
Menteri Keselamatan Negara Israel yang berhaluan kanan, Itamar Ben Gvir, turut menolak draf perjanjian itu dengan menyifatkannya sebagai “tidak boleh diterima”.
Pelan berkenaan merupakan sebahagian daripada fasa kedua rancangan gencatan senjata Gaza yang diusahakan AS bagi menamatkan konflik berpanjangan di wilayah itu.
Pelan 20 perkara yang diumumkan pada September tahun lalu merangkumi penubuhan Board of Peace untuk memantau pelaksanaan perjanjian, pelucutan senjata Hamas, pengunduran tentera Israel dan usaha pembinaan semula Gaza.
Satu pelan tindakan 15 perkara turut diterbitkan pada Jumaat lalu yang menggariskan langkah-langkah akhir bagi melaksanakan perjanjian tersebut.