Skip to main content

Dunia

Selat Hormuz tidak boleh dibuka semula selagi ancaman AS berterusan - IRGC

Vessels at the Strait of Hormuz, as seen from Musandam, Oman, June 18, 2026. REUTERS/Stringer
IRGC memberi amaran bahawa ancaman dan campur tangan berterusan akan menjadikan keadaan "lebih sukar dan rumit." - Gambar fail/Reuters
Advertisement

ISTANBUL: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada Khamis menyatakan Selat Hormuz tidak boleh dibuka semula selagi ancaman dan campur tangan Amerika Syarikat (AS) terhadap pergerakan maritim di rantau itu masih berterusan.

"Dengan berterusannya ugutan dan ancaman oleh pegawai AS serta campur tangan mereka terhadap pergerakan maritim di rantau ini, Selat Hormuz tidak boleh dibuka semula," tegas IRGC dalam satu kenyataan.

IRGC memberi amaran bahawa ancaman dan campur tangan berterusan akan menjadikan keadaan "lebih sukar dan rumit."

IRGC mendakwa dua kapal tangki minyak, yang dikatakan bertindak atas dorongan pesawat AS, cuba melalui laluan yang disifatkannya sebagai "tidak selamat" di selatan Selat Hormuz pada waktu malam.

Menurut IRGC, kedua-dua kapal berkenaan segera berpatah balik selepas kebakaran besar tercetus di atas sebuah daripada kapal.

"Selat Hormuz adalah wilayah kami dan Tentera Laut IRGC mengawalnya dengan tegas," menurut kenyataan itu, sambil menegaskan bahawa tiada kuasa luar yang "datang dari ribuan kilometer jauhnya" akan dibenarkan campur tangan.

Terdahulu, Pemerintah Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) memaklumkan tenteranya melancarkan  "gelombang serangan besar" terhadap Iran sebagai tindak balas terhadap dakwaan cubaan serangan peluru berpandu yang menyasarkan pasukan AS di Asia Barat.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement