Skip to main content
Advertisement

Malaysia

PR1MA, ANSARA Malaysia jalin kerjasama perluas peluang pemilikan rumah

71445654282_PerumahanBUDGET.jpg
PR1MA akan terus meneroka kerjasama strategik dengan pelbagai organisasi dan persatuan bagi membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk memiliki kediaman yang berkualiti serta mampu milik. - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains MARA Malaysia (ANSARA) pada Selasa memeterai Perjanjian Kerjasama bagi memperluas akses ahli ANSARA dan keluarga mereka kepada maklumat, peluang serta inisiatif pemilikan kediaman PR1MA.

PR1MA dalam kenyataan memaklumkan kerjasama itu turut merangkumi program kesedaran pemilikan rumah, sesi taklimat dan libat urus, perkongsian maklumat mengenai kediaman serta promosi PR1MA, selain program rujukan dan inisiatif komunikasi bersama.

Antara manfaat utama ialah diskaun tambahan RM5,000 kepada 200 ahli ANSARA atau ahli keluarga terawal bagi pembelian kediaman PR1MA terpilih, tertakluk kepada syarat, kelayakan dan ketersediaan unit.

“Insentif ini ditawarkan sebagai tambahan kepada kempen Rumah PR1MA Kita, Rumah PR1MA Kita+ atau mana-mana kempen promosi lain yang diluluskan PR1MA, tertakluk kepada syarat, kelayakan serta ketersediaan unit semasa,” menurut kenyataan itu. 

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PR1MA Brian Iskandar Zulkarim dan Presiden ANSARA Taufiq Hussien dalam satu majlis di Ibu Pejabat PR1MA.

Brian Iskandar berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen PR1MA untuk memperluas akses pemilikan kediaman melalui jaringan pelbagai organisasi dan komuniti manakala Taufiq pula memaklumkan bahawa ia dapat memberikan manfaat serta pilihan kediaman yang lebih luas kepada ahli dan keluarga ANSARA.

“Melalui jaringan ANSARA yang luas, kerjasama ini membolehkan PR1MA mendekati lebih ramai bakal pemilik rumah secara langsung. Kami berharap manfaat yang ditawarkan dapat membantu ahli ANSARA dan keluarga mereka mengambil langkah seterusnya ke arah memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Beliau berkata kerjasama itu turut mencerminkan usaha ANSARA menyediakan manfaat yang relevan kepada ahli dan keluarga mereka, khususnya dalam perancangan memiliki kediaman.

“Pemilikan kediaman merupakan antara komitmen penting dalam kehidupan seseorang. Justeru, kami menyambut baik kerjasama dengan PR1MA yang bukan sahaja memberikan ahli ANSARA akses kepada pilihan kediaman malah menawarkan manfaat tambahan yang dapat membantu mereka dalam perancangan untuk memiliki kediaman,” katanya.

PR1MA memaklumkan bahawa pihaknya akan terus meneroka kerjasama strategik dengan pelbagai organisasi dan persatuan bagi membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk memiliki kediaman yang berkualiti serta mampu milik. 

PR1MA ialah agensi peneraju perumahan mampu milik bagi kumpulan M40 di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement