Skip to main content

Dunia

Sembilan terkorban, 35 cedera dalam nahas bas di barat Afghanistan

accident
Sekurang-kurangnya sembilan orang terkorban manakala 35 lagi cedera apabila sebuah bas penumpang terbalik akibat pemanduan melulu di Wilayah Badghis, barat Afghanistan pada Ahad. - Gambar fail/hiasan

KABUL: Sekurang-kurangnya sembilan orang terkorban manakala 35 lagi cedera apabila sebuah bas penumpang terbalik akibat pemanduan melulu di Wilayah Badghis, barat Afghanistan pada Ahad, lapor Xinhua memetik kenyataan polis tempatan.

Jurucakap Polis Wilayah Badghis, Sadiqullah Sadeqi berkata nahas itu berlaku di kawasan Sabzak di sepanjang lebuh raya yang menghubungkan ibu negeri wilayah itu, Qala-e-Naw, ke Wilayah Herat di barat Afghanistan.

Advertisement

Menurut pegawai itu, sembilan penumpang termasuk wanita dan kanak-kanak maut di tempat kejadian, manakala pihak polis dan penduduk tempatan membantu menghantar 35 mangsa yang cedera ke kemudahan kesihatan berhampiran untuk rawatan.

Sadeqi menyatakan kebimbangan bahawa jumlah kematian mungkin meningkat memandangkan beberapa mangsa yang cedera kini berada dalam keadaan kritikal.

Kemalangan jalan raya sering berlaku di negara yang pernah dilanda peperangan itu berikutan pemanduan melulu di jalan raya yang sesak, selain kekurangan papan tanda yang mencukupi di lebuh raya yang rosak.

--BERNAMA-XINHUA
 

Must Watch Video