CIRI baharu pada iPhone 15 Pro tahun ini ialah Action Button yang menggantikan suis membisukan deringan telefon dan notifikasi yang wujud sejak generasi pertama lagi.

Ciri eksklusif ini kelak akan ditawarkan kepada semua model iPhone 16 tahun depan menurut laporan MacRumors.

Menerusi dokumen rekaan yang telah dilihat, Action Button baharu akan ditawarkan pada model iPhone 16 dan iPhone 16 Pro.

Butang kali ini diubah kepada jenis mekanikal mirip yang digunakan pada butang Touch ID.

Ia boleh mengesan tekanan serta menawarkan kesan tindak balas haptik seperti pad sesentuh MacBook.

Ini menimbulkan spekulasi mungkin Action Button ini boleh diprogramkan kepada beberapa aksi dan bukan hanya satu sahaja seperti pada iPhone 15 Pro.

Action Button baharu ini dibangunkan menggunakan nama Atlas oleh Apple.

Walaupun dokumen rekaan awal menunjukkan butang ini akan ditawarkan kepada semua, tidak bermakna ia akan dilakukan oleh Apple.

Secara lazimnya pengenalan ciri baharu akan dilakukan secara berperingkat.

Ura-ura sebelum ini turut mengatakan pada iPhone 16 kelak sensor Face ID akan diletakkan bawah skrin dengan hanya terdapat satu lubang kamera sahaja di depan. -Amanz