PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan semua rakyat Malaysia yang berdaftar di Colombia berada dalam keadaan selamat dan telah dikenal pasti keberadaan mereka susulan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang melanda barat negara itu pada Isnin.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, Kementerian Luar atau Wisma Putra memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru yang ditauliahkan secara serentak ke Colombia, terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan berkaitan dan memantau perkembangan keadaan.
Menurut kenyataan itu, gempa bumi berkenaan berlaku pada kira-kira 7.34 pagi waktu tempatan dengan pusat gempa terletak berhampiran bandar San Jose del Palmar di Jabatan Choco.
Gegaran dirasai di sebahagian besar Colombia, khususnya di kawasan tengah termasuk Cali, Pereira, Manizales dan Armenia, serta ibu negara Bogota, mengakibatkan kerosakan besar pada bangunan dan infrastruktur.
"Kementerian merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada kerajaan dan rakyat Republik Colombia, khususnya mereka yang terjejas akibat bencana alam yang dahsyat ini," menurut kenyataan itu.
Wisma Putra berkata pihak berkuasa Colombia masih menjalankan penilaian keadaan, manakala jumlah korban dan tahap sebenar kerosakan masih belum dapat dipastikan.
Kementerian turut menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau berada di Colombia, khususnya di kawasan terjejas, supaya sentiasa berwaspada, berhati-hati serta mematuhi arahan dan nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa Colombia serta perkhidmatan kecemasan tempatan.
Rakyat Malaysia yang masih belum mendaftarkan kehadiran mereka di negara itu juga digesa segera berbuat demikian menerusi sistem e-Konsular.
Mereka yang memerlukan bantuan konsular segera atau mempunyai maklumat mengenai rakyat Malaysia yang mungkin terjejas boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Lima melalui telefon atau WhatsApp di talian (511) 422 0297, (511) 441 1939 atau (511) 441 0795, atau melalui e-mel di [email protected] dan [email protected].
Wisma Putra berkata kementerian akan terus memantau situasi itu secara rapi dan akan menyalurkan maklumat lanjut sekiranya perlu.
-- BERNAMA