DUNIA
Seni batu purba Australia dan tapak warisan Afrika disenarai UNESCO

Tapak Murujuga Cultural Landscape mengandungi lebih satu juta petroglyphs (ukiran batu) berusia sehingga 50,000 tahun. - Foto X/UNESCO
PARIS: UNESCO telah menambah beberapa tapak budaya dan semula jadi penting ke dalam Senarai Warisan Dunia, termasuk seni batu purba Murujuga di Australia dan beberapa lokasi bersejarah di benua Afrika, menandakan pengiktirafan global terhadap warisan yang berusia puluhan ribu tahun.
Tapak Murujuga Cultural Landscape di Pilbara, Australia Barat, yang mengandungi lebih satu juta petroglyphs (ukiran batu) berusia sehingga 50,000 tahun, telah secara rasmi dimasukkan ke dalam senarai Warisan Dunia oleh UNESCO.
Ukiran ini menggambarkan haiwan, tumbuhan dan wajah manusia tertua yang diketahui, dan dianggap sebagai hasil ciptaan roh pencipta menurut kepercayaan masyarakat Ngarda-Ngarli, penjaga tradisi kawasan tersebut.
Walaupun tapak ini berdekatan dengan projek gas dan baja industri, UNESCO meluluskan pencalonan dengan syarat pemantauan berterusan terhadap kesan pencemaran industri dilakukan oleh kerajaan Australia.UNESCO turut mengumumkan bahawa tiga tapak warisan di Afrika - Hutan Hujan Atsinanana (Madagascar), Abu Mena (Mesir) dan Bandar Lama Ghadamès (Libya) - telah dikeluarkan daripada Senarai Warisan Dunia dalam Bahaya selepas usaha pemuliharaan berjaya mengurangkan ancaman terhadap tapak tersebut.
Selain itu, tapak budaya di Cameroon dan Malawi telah ditambah ke dalam senarai Warisan Dunia.
Di Cameroon, Landskap Diy-Gid-Biy di Pergunungan Mandara yang kaya dengan teres pertanian dan tapak pemujaan purba telah diiktiraf.
Di Malawi, Banjaran Gunung Mulanje, yang dianggap suci oleh masyarakat tempatan, turut menerima pengiktirafan rasmi.
Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay, menyifatkan perkembangan ini sebagai “kemenangan besar untuk warisan bersama umat manusia”, sambil menekankan usaha berterusan untuk meningkatkan penyertaan tapak Afrika dalam senarai Warisan Dunia.
Dengan penambahan ini, dunia kini semakin menyedari kepentingan melindungi warisan budaya dan semula jadi yang bukan sahaja mencerminkan sejarah manusia, tetapi juga identiti dan kelangsungan komuniti tempatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami