SENJATA api menjadi punca utama kematian dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Amerika Syarikat pada 2020, dengan mangsa berusia antara 1 hingga 19 tahun.

Lebih daripada 4,300 maut akibat kecederaan berkaitan senjata api pada tahun berkenaan, iaitu peningkatan 29 peratus berbanding tahun 2019, menurut kajian penyelidikan yang diterbitkan awal minggu ini dalam New England Journal of Medicine.

"Dalam 40 tahun yang lalu, ini adalah kali pertama kecederaan senjata api mengatasi kemalangan kenderaan bermotor dalam kalangan kanak-kanak," kata Jason Goldstick, seorang profesor di Universiti of Michigan.

Goldstick berkata pembunuhan, bukannya bunuh diri, merupakan punca sebahagian besar kematian akibat senjata api. Pembunuhan bersenjata, yang secara tidak seimbang menjejaskan golongan muda di AS, meningkat sebanyak 33 peratus, dari 2019 hingga 2020.

Kebanyakan mangsa pada 2020 berumur 14 tahun ke atas, kata Goldstick, walaupun umur yang dibenarkan untuk membeli senjata ialah 18 tahun.

"Tidak boleh membeli senjata api tidak bermakna mereka tidak boleh mendapatkan aksesnya," katanya.

Bilangan kematian berkaitan kemalangan jalan raya pula telah menurun secara mendadak di AS. sejak 20 tahun lalu, mungkin disebabkan oleh peningkatan keselamatan kenderaan.

Kira-kira 3,900 orang berumur 1 hingga 19 maut akibat kemalangan jalan raya pada 2020.