ISTANBUL: Seorang pegawai polis maut manakala 16 yang lain cedera pada Isnin selepas sebuah bas yang membawa anggota penguat kuasa itu kemalangan di bandar terbesar Türkiye di Istanbul, lapor Xinhua, memetik pejabat gabenor wilayah.
Nahas itu berlaku kira-kira 9 pagi waktu tempatan (0600 GMT) di persimpangan Basaksehir-Habipler di Lebuhraya Marmara Utara, menurut pejabat itu dalam kenyataan.
Advertisement
Bas ulang-alik itu tersasar dari laluan dan melanggar penghadang lebuh raya.
Seorang daripada mangsa yang cedera masih dalam keadaan kritikal.
Pasukan perubatan kecemasan dan unit polis dikerahkan ke lokasi sejurus selepas kejadian berlaku dan mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital berdekatan.
Pihak berkuasa tempatan telah membuka siasatan untuk menentukan punca sebenar kemalangan itu.
Lebuhraya Marmara Utara ialah arteri transit penting merentasi pusat bandar. Ia menghubungkan bahagian Eropah Istanbul dengan Asia Istanbul dengan jumlah trafik tinggi terdiri termasuk kenderaan komersial.
-- BERNAMA-XINHUA