Skip to main content

Dunia

Seorang pelombong pasir melecur dalam letusan Gunung Berapi Semeru

51769721250_MountSemeru.jpg
Gunung Semeru, setinggi 3,676 meter merupakan gunung tertinggi di Jawa iaitu pulau paling padat dengan penduduk di Indonesia. - Gambar fail/AP
Advertisement

JAKARTA: Seorang pelombong pasir mengalami kelecuran parah selepas terkena serpihan gunung berapi yang sangat panas susulan letusan Gunung Semeru di Wilayah Jawa Timur, Indonesia pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik pihak berkuasa dan media tempatan.

Pegawai pemerhati gunung berapi di Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), Mukdas Sofian berkata letusan itu berlaku selama kira-kira empat minit dan mencetuskan aliran piroklas iaitu gas panas, abu serta serpihan batu yang bergerak pantas dari puncak gunung berapi berkenaan.

Media tempatan melaporkan mangsa, Very Irawan, 33, melecur kira-kira 80 peratus pada anggota badannya dan kini sedang menerima rawatan rapi di hospital.

Abang mangsa, Aris Susanto dipetik sebagai berkata kejadian berlaku ketika Irawan bersama beberapa rakan sekerjanya sedang mengumpul pasir gunung berapi yang mendap daripada letusan terdahulu sebelum sisa gunung berapi yang tidak stabil itu tiba-tiba runtuh ke dalam laluan sungai.

Sementara itu, Ketua Daerah Lumajang Indah Amperawati berkata pihak berkuasa telah berulang kali memberi amaran kepada penduduk agar tidak melakukan sebarang aktiviti perlombongan di kawasan berbahaya sekitar Besuk Kobokan.

"Saya telah pun merayu kepada orang ramai supaya tidak menjalankan aktiviti perlombongan di sektor tenggara Besuk Kobokan dalam radius 13 kilometer," katanya.

Aktiviti perlombongan pasir menjadi sumber pendapatan penting bagi kebanyakan komuniti yang tinggal di sekitar Gunung Semeru berikutan letusan gunung berapi itu kerap menghasilkan sejumlah besar  mendapan pasir dan batu berkualiti tinggi yang amat bernilai bagi industri pembinaan di Indonesia.

Gunung Semeru, setinggi 3,676 meter merupakan gunung tertinggi di Jawa iaitu pulau paling padat dengan penduduk di Indonesia serta antara gunung berapi yang paling aktif di negara itu.

Indonesia terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik, iaitu zon aktif seismik tempat beberapa plat tektonik bertembung yang menyebabkan kejadian letusan gunung berapi dan gempa bumi kerap berlaku di seluruh kepulauan itu.

-- BERNAMA-dpa

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement