Skip to main content

Dunia

Seorang rakyat Palestin maut atau cedera setiap 90 minit di Gaza - Islamic Relief

Kira-kira 82 peratus struktur di Gaza rosak atau musnah, lebih separuh perkhidmatan kesihatan terpaksa ditutup dan lebih 20,000 pesakit kritikal tidak dibenarkan keluar bagi mendapatkan rawatan. - Foto fail/AP
Kira-kira 82 peratus struktur di Gaza rosak atau musnah, lebih separuh perkhidmatan kesihatan terpaksa ditutup dan lebih 20,000 pesakit kritikal tidak dibenarkan keluar bagi mendapatkan rawatan. - Foto fail/AP

Advertisement

GAZA: Kumpulan bantuan kemanusiaan Islamic Relief mendakwa serangan Israel telah mengorbankan atau mencederakan seorang rakyat Palestin di Gaza secara purata setiap 90 minit sejak gencatan senjata diumumkan pada Oktober tahun lalu.

Menurut badan amal berpangkalan di United Kingdom itu, sekurang-kurangnya 1,454 penduduk Palestin terbunuh dan lebih 5,000 lagi cedera sepanjang tempoh berkenaan, termasuk 320 kanak-kanak yang terkorban.

Kementerian Kesihatan Gaza pula melaporkan 1,471 rakyat Palestin terbunuh dan 5,189 cedera sejak gencatan senjata berkuat kuasa, termasuk empat maut dan 28 cedera dalam tempoh 24 jam lalu.

Menurut kementerian itu, jumlah kematian di Gaza akibat serangan Israel sejak Oktober 2023 kini mencecah 74,254 orang.

Pada Khamis, tentera Israel dilaporkan membunuh seorang rakyat Palestin di tenggara Deir al Balah, manakala satu serangan udara ke atas sebuah rumah di Khan Younis menyebabkan beberapa individu cedera.

Islamic Relief mendakwa Israel menggunakan kawasan yang dikenali sebagai Yellow Line untuk mengusir penduduk Palestin dari kira-kira 65 peratus wilayah Gaza, menyebabkan hampir 2.1 juta penduduk tertumpu di baki kawasan yang tinggal.

Kumpulan itu turut mendakwa Israel terus menyekat kemasukan bahan binaan untuk perlindungan, bahan api dan bekalan perubatan ke Gaza.

Menurut laporan berkenaan, kira-kira 82 peratus struktur di Gaza rosak atau musnah, lebih separuh perkhidmatan kesihatan terpaksa ditutup dan lebih 20,000 pesakit kritikal tidak dibenarkan keluar bagi mendapatkan rawatan.

Islamic Relief menyeru pemimpin dunia meningkatkan tekanan bagi melindungi orang awam serta memastikan undang-undang antarabangsa dihormati.

"Gencatan senjata pada nama sahaja tidak boleh dijadikan alasan untuk masyarakat antarabangsa terus berdiam diri," kata kumpulan itu.

 

 

Must Watch Video

Advertisement