MOSCOW: Delegasi Kerajaan Sepanyol di Melilla mengumumkan bahawa sempadan dengan Maghribi akan dibuka semula secara berperingkat, menurut akhbar El Pais pada Sabtu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Awal minggu ini, bandar Melilla di Afrika Utara menutup pusat pemeriksaan di sempadannya dengan Maghribi susulan cubaan pendatang memasuki bandar itu.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa pembukaan semula itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan hanya melibatkan kenderaan yang terbabit dalam Operasi Melintasi Selat.
Akses akan diberikan kepada kumpulan yang terdiri daripada kira-kira 20 kenderaan pada satu-satu masa.
Akhbar itu melaporkan bahawa selepas kumpulan berkenaan melepasi pemeriksaan keselamatan pihak berkuasa Maghribi, kumpulan kenderaan seterusnya akan dibenarkan meneruskan perjalanan.
Ceuta ialah enklaf Sepanyol di pantai utara Afrika yang terletak di sempadan Maghribi.
Bersama Melilla, wilayah itu membentuk satu-satunya sempadan darat antara Kesatuan Eropah (EU) dan Afrika serta dianggap sebagai laluan utama bagi pendatang tanpa izin memasuki EU.
Sejak beberapa hari lalu, enklaf itu menyaksikan kemasukan besar-besaran pendatang.
Menurut pihak berkuasa Sepanyol, puluhan ribu orang telah menyeberangi sempadan secara haram dan memasuki Ceuta.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI