CASTELLON: Ratusan penduduk dipindahkan susulan kebakaran hutan yang merebak di Wilayah Castellon di timur Sepanyol, di tengah-tengah negara itu berdepan gelombang haba kedua bagi musim panas ini, lapor Anadolu Ajansi.
Kebakaran itu bermula berhampiran Soneja dan memaksa pemindahan kira-kira 500 penduduk dari kawasan berhampiran Azuebar apabila api semakin merebak menghampiri kawasan penempatan, menurut pihak berkuasa wilayah.
Kira-kira 200 anggota kecemasan dan 15 pesawat dikerahkan untuk memadamkan kebakaran, manakala Unit Kecemasan Tentera Sepanyol turut menyertai operasi dengan kekuatan 50 anggota dan 17 kenderaan, kata pegawai.
Insiden itu berlaku ketika Sepanyol sedang berhadapan dengan beberapa kebakaran hutan berskala kecil dan sederhana di wilayah lain termasuk Catalonia, Aragon, Asturias, Andalusia dan Galicia.
Pihak berkuasa Perlindungan Awam turut menutup beberapa kawasan taman semula jadi di Girona dan Lleida kepada orang ramai ekoran risiko kebakaran yang tinggi, memandangkan suhu di beberapa kawasan di negara itu meningkat melebihi 42 darjah Celsius. Gelombang haba berkenaan dijangka berakhir pada 10 Julai, menurut ramalan cuaca Sepanyol.
-- BERNAMA-ANADOLU