Jumlah mangsa serangan bom kereta yang menggegarkan bandar Reyhanli, Turki meningkat kepada 42 orang manakala lebih 140 tercedera di sempadan Syria.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Turki, Bulent Arinc, siasatan awal menunjukkan serangan berkenaan didalangi pihak yang dipercayai ada kaitan dengan kerajaan dan perisikan Syria.

Beliau sebelum itu memberikan amaran keras untuk bertindak balas jika terbukti ia didalangi negara jiran.

Susulan kejadian, pihak berkuasa Turki mengenakan perintah berkurung di Bandar Reyhanli.

Letupan mensasarkan kawasan di hadapan pejabat pos sehingga menyebabkan kerosakan teruk.

Sementara satu lagi bom meletup di hadapan Majlis Perbandaran.

“Bom pertama meletup di sini. Letupan kedua lebih kecil. Ia meletup di tempat lain. Letupan ketiga mensasarkan kawasan dekat bangunan Majlis Perbandaran. Ramai yang terkorban. Ada bahagian mayat yang hilang,” kata saksi kejadian.

Rakaman video amatur yang dimuat naik ke Youtube menunjukkan situasi selepas serangan yang menyaksikan asap tebal memenuhi ruang udara pusat bandar.



Satu lagi video yang dimuat naik menunjukkan usaha menyelamat mangsa bergelimpangan di atas jalan raya.