DAMSYIK: Lima maut dan tujuh lagi cedera selepas Israel menyerang kem tentera di tengah Syria pada Jumaat, lapor Xinhua, memetik Agensi Berita SANA.

Beberapa peluru berpandu yang dibedil Israel mengenai sasaran berhampiran kawasan Masyaf wilayah Hama, lapor SANA, memetik kenyataan tentera.

Serangan itu turut merosakkan harta benda dan menyebabkan kebakaran di hutan Masyaf.

Menurut laporan awal SANA, Syria telah memintas peluru berpandu Israel di kawasan pantai.

Letupan kedengaran di bandar pantai Syria Banyas, Tartous, dan Jableh dan kebanyakan peluru berpandu dipintas sebelum menuju sasaran.

Israel kerap mengebom kemudahan tentera Syria dan mendakwa pihaknya menyerang pangkalan militan pro-Iran.

-- BERNAMA