NARATHIWAT: Thailand sedang menilai dan berusaha mengekalkan keamanan di tiga wilayah selatannya, Narathiwat, Pattani dan Yala, susulan siri insiden keganasan serentak yang melibatkan pengeboman dan perbuatan khianat bermula lewat malam Sabtu.
Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) dalam satu kenyataan berkata pihak berkuasa Thailand akan terus memantau keadaan dengan mengarahkan semua unit menyegerakan siasatan dan langkah keselamatan demi melindungi orang ramai serta memulihkan keadaan secepat mungkin.
Terdahulu, wilayah Narathiwat telah dikenakan perintah berkurung dari 10.15 malam pada 22 Ogos hingga 5 pagi pada 23 Ogos.
Lebih 50 insiden, termasuk pengeboman, pembakaran pejabat kerajaan tempatan dan pembakaran tayar, dilaporkan berlaku di tiga wilayah tersebut.
ISOC 4 menyeru orang ramai agar membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan sekiranya terserempak dengan mana-mana individu, objek atau kenderaan yang mencurigakan.
Menjelaskan tindakan perintah berkurung itu, Komander Pasukan Petugas Narathiwat, Mej Jen Yodawud Phuengphak berkata ia bagi membolehkan pihak berkuasa mengawal keadaan dan memastikan keselamatan awam terjamin sepenuhnya.
"Pengumuman tersebut dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa mengawal keadaan dan memastikan keselamatan awam dapat dikawal secara menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan.
Yodawud berkata perintah berkurung itu memberikan kuasa penuh kepada anggota tentera untuk melaksanakan langkah-langkah keselamatan, termasuk penggeledahan, kawalan kawasan serta mengambil tindakan di bawah Akta Undang-Undang Tentera 1914.
Jelasnya, langkah itu wajar dilaksanakan mengikut situasi semasa manakala pihak berkuasa awam diarahkan menyokong operasi ketenteraan tersebut bagi mengekalkan keamanan dan ketenteraman.
"Bagaimanapun, sekiranya terdapat keperluan mendesak (untuk keluar), kebenaran mesti diperolehi terlebih dahulu daripada pihak tentera, polis, ketua kampung, atau pegawai pentadbiran tempatan," tambahnya.
-- BERNAMA