ISTANBUL: Serangan udara Israel menyasarkan 180 kemudahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Semenanjung Gaza menyebabkan sekurang-kurangnya 300 orang terbunuh sejak Oktober lepas.

Kemudahan itu termasuk beberapa daripadanya yang menjadi sasaran langsung serangan, menurut Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pada Ahad.

Dalam satu hantaran di X, Pengarah Komunikasi UNRWA Juliette Touma berkata "seramai 1.4 juta warga Palestin di Gaza berlindung di kemudahan UNRWA dan ramai lagi di kawasan sekitar, tidur di luar".

Dalam satu kenyataan berasingan di X, agensi PBB itu pada Ahad berkata semasa dunia sedang merayakan Sambutan Tahun Baharu, jalan raya di selatan Semenanjung Gaza dipenuhi dengan orang awam  mencari perlindungan selepas  diusir, lapor Agensi Anadolu.

“Tahun lepas membawa kemusnahan dan tragedi yang mendalam kepada warga Palestin yang menghadapi peperangan, keganasan ekstrem, pengusiran dan kemiskinan,” menurut agensi itu dalam satu kenyataan lain.


Pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata sekurang-kurangnya 21,822 warga Palestin terbunuh manakala 56,451 lagi cedera sejak 7 Okt.

Serangan Israel telah menyebabkan Gaza musnah, dengan 60 peratus infrastruktur di wilayah itu rosak atau musnah dan hampir dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.


-- BERNAMA-ANADOLU