DUNIA
Serengeti, Zanzibar, Kilimanjaro antara pemenang utama Tanzania di Anugerah Pelancongan Dunia 2025

Antara anugerah utama yang diterima Tanzania termasuk Destinasi Terbaik Afrika, Lembaga Pelancongan Terbaik Afrika dan Taman Negara Terbaik Afrika yang berprestij, yang dimenangi Taman Negara Serengeti. - Foto World Travel Awards
DAR ES SALAAM: Tanzania muncul sebagai permata pelancongan Afrika pada Anugerah Pelancongan Dunia 2025 yang berlangsung pada Sabtu malam di bandar pelabuhan Dar es Salaam, lapor Xinhua.
Negara Afrika Timur itu bukan sahaja menjadi tuan rumah majlis penganugerahan tahun ini tetapi turut mencipta sejarah apabila meraih 27 anugerah, jumlah tertinggi setakat ini, yang menonjolkan keindahan landskap, sektor hospitaliti yang rancak dan institusi pelancongan cemerlang di negara itu, menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Pelancongan pada Ahad.
Antara anugerah utama yang diterima termasuk Destinasi Terbaik Afrika, Lembaga Pelancongan Terbaik Afrika dan Taman Negara Terbaik Afrika yang berprestij, yang dimenangi oleh Taman Negara Serengeti.
Kenyataan itu turut memaklumkan pengiktirafan kepada Gunung Kilimanjaro, Taman Negara Ruaha, pantai Zanzibar yang bersih dan keindahan bunga-bungaan di Taman Negara Kitulo, yang masing-masing menerima penghargaan atas tarikan unik mereka.Pengiktirafan lain termasuk Zanzibar yang dinamakan Destinasi Pantai Terbaik Afrika; Kawasan Pemuliharaan Ngorongoro sebagai Tarikan Pelancong Terbaik Afrika; Taman Negara Serengeti yang meraih dua gelaran termasuk Lima Taman Negara Besar Terbaik Afrika; Lapangan Terbang Antarabangsa Julius Nyerere sebagai Lapangan Terbang Terbaik Afrika dan Pelabuhan Dar es Salaam yang memenangi gelaran Pelabuhan Kapal Persiaran Terbaik Afrika.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami