Setiausaha Pertahanan UK dedah penubuhan pasukan laut, pertahankan kabel dasar laut

Umum Healey pasukan tentera laut hibrid itu, dinamakan Atlantic Bastion dan akan menggabungkan kenderaan autonomi dan kecerdasan buatan (AI) dengan kapal perang serta pesawat. - Foto Reuters
LONDON: Setiausaha Pertahanan United Kingdom (UK) John Healey berkata UK dan sekutunya bersedia "mengesan dan menghalang" kapal selam Rusia, sambil mengumumkan rancangan penubuhan pasukan tentera laut berteknologi tinggi bernilai jutaan pound bagi melindungi kabel dan saluran paip dasar laut, lapor PA Media/dpa.
Ringkasan AI
- Setiausaha Pertahanan United Kingdom (UK) John Healey mengumumkan rancangan penubuhan pasukan tentera laut berteknologi tinggi, Atlantic Bastion, bagi melindungi kabel dan saluran paip dasar laut daripada ancaman kapal selam Rusia.
- Infrastruktur dasar laut penting bagi UK, membawa 99 peratus data telekomunikasi antarabangsa serta bekalan tenaga penting seperti elektrik, minyak, dan gas.
- Projek Atlantic Bastion melibatkan teknologi sensor antikapal selam tercanggih dan merupakan langkah inovatif dalam menghadapi ancaman baharu terhadap keselamatan UK dan sekutunya.
Langkah itu diambil selepas laporan menyatakan kabel di Laut Baltik telah rosak baru-baru ini, dan risikan pertahanan UK mengenal pasti Rusia sedang memodenkan armadanya bagi menyasarkan kabel serta saluran paip dasar laut.
Bercakap semasa lawatan ke Pangkalan Tentera Laut Portsmouth, Healey memberitahu Press Association: "Kami tahu apa yang Putin lakukan. Kami tahu apa yang Putin sedang bangunkan."
"Dan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sebagai contoh, kapal perisikan mereka, Yantar, keluar masuk perairan UK, dan kami dapat mengesannya, sama ada di permukaan atau di bawah air."
"Kami dapat mengesan mereka, menjejaki mereka, dan jika perlu, kami bersedia bersama sekutu untuk bertindak menghalang mereka."
Atlantic Bastion akan melibatkan pembangunan dan ujian teknologi sensor antikapal selam tercanggih.
Healey menambah: "Orang ramai harus sedar ancaman baharu terhadap UK dan sekutu kami di dasar laut, apabila pihak lawan menyasarkan infrastruktur yang amat kritikal kepada cara hidup kita."
"Era ancaman baharu ini memerlukan era baharu pertahanan dan kita mesti berinovasi dengan pantas pada kadar masa perang untuk mengekalkan kelebihan medan pertempuran sambil kita melaksanakan semakan pertahanan strategik."
"Program perintis Atlantic Bastion kami adalah pelan tindakan masa depan Tentera Laut Diraja."
"Ia menggabungkan teknologi autonomi dan AI terkini dengan kapal perang serta pesawat bertaraf dunia untuk mewujudkan pasukan tempur hibrid yang sangat maju bagi mengesan, menghalang dan menewaskan mereka yang mengancam kita."
Projek itu dilancarkan dengan pelaburan awal 14 juta pound (AS$18.7 juta) oleh Kementerian Pertahanan dan industri untuk tujuan ujian serta pembangunan, dengan 26 firma dari UK dan Eropah telah mengemukakan cadangan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


