DHAKA: Sheikh Hasina mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Bangladesh pada Khamis untuk penggal keempat berturut-turut selepas partinya, Liga Awami memenangi pilihan raya umum yang diboikot oleh pembangkang utama yang menolak undian itu sebagai palsu.

Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), yang pemimpinnya sama ada dalam penjara atau dalam buangan menjauhkan diri daripada pilihan raya selepas Hasina menolak tuntutan supaya meletak jawatan dan membiarkan pihak berkuasa berkecuali menjalankan pilihan raya umum.

Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) berkata, pilihan raya berkenaan tidak bebas dan adil, sementara Jabatan Hubungan Luar Kerajaan Britain pula mengutuk apa yang dipanggil "tindakan ugutan dan keganasan".

Hasina, 76, merupakan anak kepada Sheikh Mujibur Rahman iaitu bapa pengasas negara Asia Selatan itu yang terbunuh dalam rampasan kuasa tentera pada 1975 bersama kebanyakan ahli keluarga.

Hasina mula menjadi Perdana Menteri pada 1996 dan ini merupakan penggal kelima beliau secara keseluruhan.

Presiden Mohammed Shahabuddin melafazkan sumpah jawatan pada majlis di Istana Presiden yang dihadiri pemimpin politik, pegawai tinggi awam dan tentera, diplomat dan orang kenamaan lain.

“Saya, Sheikh Hasina, bersumpah... bahawa saya akan melaksanakan tugas saya dengan setia sebagai Perdana Menteri kerajaan mengikut undang-undang,” kata Hasina.

Kabinet Hasina seramai 36 orang turut mengangkat sumpah jawatan dalam majlis yang disiarkan secara langsung di televisyen.

BNP, yang telah memboikot dua daripada tiga pilihan raya lepas, berkata parti Hasina cuba menghalalkan undi palsu.

Hasina berkata, beliau tidak perlu membuktikan kredibiliti pilihan raya itu kepada sesiapa.

"Apa yang penting ialah jika rakyat Bangladesh akan menerima pilihan raya ini."

Hasina telah dipuji kerana mengubah ekonomi, walaupun pengkritik juga menuduhnya melanggar hak asasi manusia dan menyekat perbezaan pendapat.

Ekonomi juga semakin perlahan sejak meletus perang Rusia-Ukraine menyebabkan kenaikan harga bahan api dan import makanan sekali gus memaksa Bangladesh mendapatkan bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa untuk menyelamatkan AS$4.7 bilion tahun lalu.

Inflasi negara itu berada pada kadar 9.5 peratus pada bulan November.

Kos sara hidup yang meningkat secara mendadak mencetuskan protes ganas menjelang pilihan raya, ketika kerajaan Hasina bergelut untuk membayar import tenaga disebabkan oleh rizab dolar yang mengecut dan mata wang tempatan yang semakin lemah.

Walaupun penganalisis berkata, pembaharuan ekonomi amat diperlukan, mereka juga menekankan bahawa sebelum kerajaan Hasina dapat mentadbir, parti pemerintah dan pembangkang perlu mencapai beberapa bentuk persefahaman untuk menamatkan pergolakan politik.

Kedua-dua Hasina dan seterunya menuduh lawan mereka cuba mencipta huru-hara dan keganasan untuk menggagalkan keamanan politik dan menjejaskan demokrasi yang masih belum bertapak kukuh di negara berpenduduk 170 juta orang itu. - Agensi