SHANGHAI: Sinergi strategik antara Bank Rakyat bersama dua gergasi teknologi China, Alibaba Cloud dan Lenovo membuka ruang lebih luas kepada perkongsian teknologi, kepakaran serta pengalaman dalam usaha memperkukuh keupayaan digital, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kewangan (fintech).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha meneroka kerjasama itu turut berpotensi memberi manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), gerakan koperasi serta usahawan tempatan, di samping memacu penyampaian perkhidmatan digital yang lebih cekap, inklusif dan berkualiti.
“Saya menyambut baik ikhtiar transformasi serta komitmen Bank Rakyat dalam memperkukuh keupayaan digitalnya menerusi usaha meneroka peluang kerjasama yang lebih luas merentasi pelbagai lapangan perniagaan Alibaba, serta mengalu-alukan penglibatan Lenovo sebagai rakan ekosistem dalam Hab Komuniti Fintech Bank Rakyat,” kata Anwar dalam hantaran di media sosial beliau hari ini.
Sejurus tiba di Shanghai, Anwar, yang juga Menteri Kewangan menyertai satu sesi libat urus strategik antara Bank Rakyat bersama Alibaba Cloud dan Lenovo, yang kini sedang meneroka kerjasama dalam bidang teknologi digital, AI serta fintech.
“Matlamat kita jelas bahawa setiap kerjasama strategik yang dibina harus membawa limpahan nilai kepada ekonomi negara, meningkatkan daya saing Malaysia dan, akhirnya, yang paling utama adalah memberi serta menjamin manfaat yang bermakna kepada rakyat,” kata beliau.
Kemuncak lawatan Perdana Menteri kali ini adalah mesyuarat peringkat tinggi dengan Perdana Menteri China Li Qiang di Hangzhou, ibu kota wilayah Zhejiang pada Khamis.
Beliau juga akan menghadiri WorldSkills Shanghai 2026 di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) di samping dijadualkan untuk menyampaikan ucaptama pada sesi pleno Persidangan WorldSkills 2026 pada Rabu.
China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah US$113.82 bilion (RM456.68 bilion) untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
-- BERNAMA