SINGAPURA:Jumlah curahan hujan di Changi pada hari kedua tahun 2021 adalah antara yang tertinggi pernah dicatatkan di Singapura sejak 39 tahun lepas.

Perkara itu dimaklumkan oleh Lembaga Utiliti Awam (PUB), agensi air kebangsaan yang menguruskan pengumpulan, pengeluaran, pengedaran dan reklamasi air di Singapura.

Setakat tengah hari Sabtu, PUB memaklumkan jumlah curahan hujan tertinggi sejak 1 Jan yang direkodkan di Changi ialah 318.6 milimeter, bersamaan dengan purata hujan bulanan bagi Januari iaitu 238.3 milimeter.

Agensi itu berkata jumlah hujan paling lebat iaitu 184.4 milimeter turut direkodkan di Changi dari 12 tengah malam hingga 12 tengah hari pada 2 Jan.

"Jumlah ini melebihi separuh daripada jumlah purata hujan bulanan di Singapura pada Januari dan berada dalam tempat teratas 1.0 peratus hujan harian maksimum yang direkod sejak 39 tahun lepas," menurut agensi itu di laman Facebooknya.

Menurut PUB, Singapura telah mengalami fenomena hujan berterusan di kebanyakan kawasan sejak 1 Jan dengan hujan lebat dan sederhana di beberapa lokasi.

Agensi itu telah mengeluarkan amaran risiko banjir di beberapa lokasi pada Sabtu apabila hujan lebat telah menyebabkan paras air di dalam longkang dan terusan melebihi 90 peratus.

Lokasi terbabit termasuk Lorong Halus, Pasir Ris Farmway 3, Jalan Seaview, Jalan Mountbatten dan persimpangan Jalan Bedok dan Jalan Upper Changi Timur.

-- BERNAMA