Skip to main content

Dunia

Singapura lancar kemudahan penyimpanan rizab emas berkapasiti 500 tan

MAS dan MOF akan memperkenalkan rangka kerja GST yang dipertingkat bagi menyokong aktiviti pasaran borong logam berharga untuk pelaburan (IPM) di Singapura. - Gambar hiasan/Sinar Harian
MAS dan MOF akan memperkenalkan rangka kerja GST yang dipertingkat bagi menyokong aktiviti pasaran borong logam berharga untuk pelaburan (IPM) di Singapura. - Gambar hiasan/Sinar Harian
Advertisement

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Selasa melancarkan perkhidmatan penyimpanan emas yang membolehkan bank pusat asing, institusi kewangan antarabangsa dan entiti berdaulat menyimpan rizab emas sehingga 500 tan di Singapura.

Dalam satu kenyataan, bank pusat itu memaklumkan emas berkenaan akan disimpan di bilik kebal mata wang negara Singapura, yang mempunyai kapasiti untuk diperluas sejajar dengan pertambahan permintaan.

Menurut MAS, perkhidmatan itu menyediakan pilihan tambahan bagi jagaan rizab emas oleh entiti berdaulat di Singapura, dengan menawarkan kemudahan penyimpanan yang selamat dan peruntukan emas secara khusus, perkhidmatan yang boleh dipercayai serta akses cekap kepada mudah tunai pasaran emas sepanjang waktu dagangan Asia.

Advertisement

Selain itu, MAS dan Kementerian Kewangan (MOF) akan memperkenalkan rangka kerja Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dipertingkat bagi menyokong aktiviti pasaran borong logam berharga untuk pelaburan (IPM) di Singapura.

“Rangka kerja itu memperluas pengecualian GST kepada perkhidmatan tertentu berkaitan IPM di peringkat borong antara peserta institusi yang tertakluk kepada rangka kerja berkenaan, termasuk penyimpanan emas, penapisan dan pembentukan semula emas, penentuan ketulenan serta pembrokeran.

Advertisement

“Rangka kerja itu dijangka berkuat kuasa pada April 2027, dengan maklumat lanjut akan diumumkan dalam Belanjawan 2027,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, MAS memaklumkan Singapore Exchange (SGX Group) dan enam bank pengasas yang bertindak sebagai bank penjelasan, iaitu DBS, Deutsche Bank, ICBC Standard Bank, JP Morgan, OCBC dan UOB, sedang bekerjasama rapat bagi melengkapkan persiapan untuk sistem penjelasan dagangan emas di kaunter (OTC) menjelang akhir 2026.

Ujian industri bagi sistem penjelasan itu telah selesai, manakala buku peraturan sistem berkenaan akan dimuktamadkan tidak lama lagi, menurut kenyataan itu.

“Dagangan langsung dan operasi pasaran dijangka bermula pada suku pertama 2027, dengan mudah tunai pasaran emas dijangka terus meningkat sepanjang tahun berkenaan.

“Secara berasingan, kontrak niaga hadapan Gold Kilobar SGX yang membolehkan penyerahan emas fizikal disasarkan untuk dilancarkan pada suku kedua 2027,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAM

 

 

Must Watch Video

Advertisement