SINGAPURA: Pihak berkuasa akan mempertingkatkan operasi penguatkuasaan di Pusat Pemeriksaan Woodlands mulai 13 hingga 17 Feb ini menjelang musim perayaan, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA).
ICA menyatakan bahawa operasi itu bertujuan mencegah dan mengesan pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas seperti memandu laju dan memotong barisan di pusat pemeriksaan berkenaan.
Advertisement
Menurut ICA, sebanyak lapan kes kesalahan lalu lintas dikesan di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada Januari dan pesalah telah dikenakan tindakan penguatkuasaan.
“Pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pengembara yang melakukan kesalahan atau gagal mematuhi arahan pegawai di pusat pemeriksaan,” menurut ICA dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Pemandu kenderaan berpendaftaran asing boleh dikenakan larangan masuk, manakala pemandu kenderaan berdaftar Singapura boleh dirujuk kepada Polis Trafik untuk siasatan lanjut dan tindakan penalti, katanya.
-- BERNAMA