DUNIA
Singapura perkukuh kerjasama global tangani ekstremisne - PM Wong

Wong berkata Singapura akan terus berwaspada dalam menentang ekstremisme. - Gambar fail/Reuters/Edgar Su
SINGAPURA: Singapura akan memperdalam kerjasama antarabangsa sebagai sebahagian daripada usaha memerangi ancaman ideologi ekstremisme yang semakin meningkat dalam kalangan belia republik itu, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.
Kenyataan bahawa keganasan tidak mengenal sempadan, beliau berkata Singapura akan berkongsi pengalamannya serta belajar daripada negara lain dalam usaha kolektif menjadikan dunia lebih selamat.
"Kita mesti bekerjasama - bertukar maklumat risikan, kepakaran dan sumber - untuk menggagalkan rancangan pengganas," katanya pada majlis makan tengah hari penghargaan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk sukarelawan komuniti pada Sabtu.
Sejak 2015, sebanyak 18 belia berusia antara 14 hingga 20 tahun telah dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Wong berkata lebih dua pertiga daripada kes itu berlaku dalam tempoh lima tahun lepas.Selain itu, Singapura akan memperkukuh keupayaan pemulihannya dengan melangkaui kaunseling agama Islam semata-mata, memandangkan rakyat kini turut terpengaruh dengan pelbagai ideologi ekstremis lain.
Beliau berkata Singapura sudah mula melaksanakannya, termasuk membangunkan pelbagai intervensi khusus untuk golongan belia yang terjerumus dan menjadi radikal secara kendiri, seperti bimbingan mentor, kesejahteraan siber, serta program peningkatan kemahiran sosial.
Wong berkata usaha ini telah menunjukkan hasil positif, termasuk kes seorang remaja berusia 16 tahun yang ditahan pada Disember 2020 selepas terpengaruh dengan propaganda ekstremis sayap kanan dalam talian dan merancang serangan terhadap umat Islam di dua masjid.
Remaja itu dibebaskan pada Januari tahun lepas dan kini menyambung pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi selepas menerima kaunseling daripada seorang pastor Kristian serta bimbingan dua mentor yang membantunya melalui proses pemulihan.
Beliau berkongsi bahawa daripada 150 rakyat Singapura yang dikenakan tindakan di bawah ISA sejak 2002, sekitar 85 peratus menunjukkan kemajuan dengan ramai berjaya kembali ke pangkuan masyarakat melalui bantuan sukarelawan komuniti.
Sementara itu, Wong berkata Singapura akan terus berwaspada dalam menentang ekstremisme, sambil menggesa rakyat melaporkan ahli keluarga atau rakan yang mungkin terpengaruh dengan ideologi ekstremis supaya bantuan awal dapat diberikan.
"Saya juga mempunyai rakan yang terpesong. Saya mengenali mereka ketika muda dan tidak pernah menjangka mereka akan beralih kepada ekstremisme. Tetapi perkara ini boleh berlaku. Dan apabila ia berlaku, kita mahu bertindak awal serta membantu mereka kembali ke landasan yang betul secepat mungkin," katanya.
Wong turut menyeru rakyat Singapura supaya membina hubungan kukuh dan padu kerana isu seseorang menjadi radikal secara kendiri sering dihadapi individu yang berasa terasing.
"Kita juga mesti berwaspada terhadap perpecahan baharu, seperti yang berpunca daripada ketidaksamaan sosial dan ekonomi, kerana jika dibiarkan, ia boleh melemahkan kepercayaan dan menghakis perpaduan yang kita bina dengan susah payah," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami