Skip to main content

Dunia

Singapura sambut Hari Kebangsaan ke-61, NDP kembali ke Stadium Negara

Hari Kebangsaan Singapura_BERNAMA
Sambutan bermula kira-kira 6 petang dengan segmen perbarisan dan upacara bertemakan "Go Beyond Self", yang menampilkan 32 kontinjen dengan lebih 2,000 peserta. - Gambar Bernama
Advertisement

SINGAPURA: Singapura menyambut Hari Kebangsaan ke-61 pada Ahad dengan kembalinya Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) ke Stadium Negara selepas sedekad, bertemakan "Majulah Singapura, Go Beyond!".

Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri Lawrence Wong menyertai menteri-menteri Kabinet serta Ahli Parlimen pada acara NDP 2026, bersama-sama kira-kira 42,000 orang awam yang memeuhi stadium dengan berpakaian merah dan putih.

Buat julung kalinya dalam sejarah enam dekad republik itu, tembakan meriam kehormatan Presiden dan terbang lintas hormat bendera negara diadakan di Kallang Basin, sekali gus memperluas sambutan perbarisan ke luar Stadium Negara.

Sebanyak empat meriam Howitzer seberat 25 paun yang dipasang pada rakit Mobility 3rd Generation (M3G) belayar mengelilingi lembangan itu, sekali gus membolehkan ribuan penonton di sekitar Kallang menyaksikan acara berkenaan dengan lebih dekat.

Tembakan kehormatan 21 das itu melibatkan 151 anggota daripada Batalion Ke-23 Artileri Singapura dan Batalion Ke-35 Jurutera Tempur Singapura.

Sambutan bermula kira-kira 6 petang dengan segmen perbarisan dan upacara bertemakan "Go Beyond Self", yang menampilkan 32 kontinjen dengan lebih 2,000 peserta.

Segmen itu menghimpunkan enam kontinjen Kawalan Kehormat (GOH), 10 kontinjen pertubuhan belia beruniform dan 16 kontinjen sokongan, selain pasukan pembawa Panji-panji Angkatan Tentera Singapura (SAF).

Enam kontinjen GOH yang mengiringi pembawa Panji-panji SAF terdiri daripada 72 anggota daripada Tentera Darat Singapura, Tentera Laut Republik Singapura (RSN), Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Sementara itu, segmen persembahan NDP 2026 yang berteraskan tema utama menampilkan 36 artis dan lebih 2,600 penghibur, dengan mengetengahkan kisah sebenar rakyat Singapura, teknologi inovatif dan runut bunyi yang menyentuh perasaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement