Skip to main content

Dunia

'Soal keadilan dan kesaksamaan': Nepal tuntut pampasan iklim susulan tragedi banjir

A drone view of the aftermath of flash flooding along the Trishuli river amidst fresh water surge warning in the Trishuli Bazaar area of Nuwakot district, Nepal, Sunday, Aug. 30, 2026. (AP Photo/Rajesh Kumar Singh)
Angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda sempadan Nepal-China pada 26 Ogos meningkat kepada 1,225 orang. - Foto fail/AP
Advertisement

ISLAMABAD: Nepal menggesa sokongan antarabangsa susulan tragedi banjir maut di negara itu disalurkan dalam bentuk pampasan iklim dan bukan sekadar bantuan kebajikan, sambil menyifatkan perkara itu sebagai “soal keadilan dan kesaksamaan”, lapor Anadolu Ajansi.

Menteri Luar Nepal Shisir Khanal berkata negaranya menanggung kesan perubahan iklim secara tidak seimbang walaupun hanya menyumbang sebahagian kecil kepada pelepasan gas rumah hijau global.

Angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda sempadan Nepal-China pada 26 Ogos meningkat kepada 1,225 orang, manakala hampir 4,757 lagi termasuk 541 di China masih hilang.

Pihak berkuasa Nepal berkata 1,204 mayat ditemukan, manakala China mengesahkan 21 kematian setakat Rabu.

“Jika dilihat pada data, keseluruhan jejak karbon dan pelepasan gas rumah hijau kami adalah kurang daripada satu persepuluh daripada satu peratus.

“Glasier semakin mencair, permafros pula semakin mencair dan terdapat risiko berlakunya banjir glasier,” kata Khanal kepada program Anderson Cooper 360° di CNN.

Beliau berkata bencana terbaharu itu turut membabitkan keruntuhan glasier.

“Apa yang kami ingin sampaikan kepada dunia ialah sumbangan kami terhadap perubahan iklim ini hampir tidak signifikan,” katanya.

Khanal menegaskan bahawa usaha melindungi Banjaran Himalaya tidak seharusnya menjadi tanggungjawab Nepal semata-mata.

“Usaha menyelamatkan Banjaran Himalaya perlu menjadi sebahagian daripada usaha global kerana hari ini ia memberi kesan kepada Nepal, tetapi ia turut memberi kesan kepada China,” kata Khanal. 

Beliau berkata sungai-sungai di Banjaran Himalaya akhirnya mengalir ke India dan dalam sesetengah keadaan ke Bangladesh, sekali gus membekalkan air tawar untuk pertanian dan minuman kepada lebih dua bilion penduduk.

“Masyarakat antarabangsa perlu berganding bahu dan perkara ini tidak boleh dilihat semata-mata sebagai pemberian amal, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada proses pampasan,” kata beliau. 

Ketika ditanya Cooper sama ada Nepal mahu sokongan daripada kerajaan asing dilihat sebagai pampasan dan bukannya sekadar bantuan, Khanal menjawab: “Tepat sekali, perkara ini perlu dilihat dari sudut keadilan dan kesaksamaan.

“Sejauh mana adilnya rakyat Nepal dan penduduk di Banjaran Himalaya terpaksa menanggung beban perubahan iklim sedangkan sumbangan kami terhadapnya amat kecil?”

Ketika ditanya sama ada beliau menganggap bencana itu sebagai kesan langsung perubahan iklim, Khanal berkata: “Sudah tentu, tiada persoalan bahawa terdapat bukti mengenainya.”

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement