TEHRAN: Solat jenazah besar-besaran diadakan di ibu negara Iran, Tehran pada Ahad untuk Pemimpin Agung negara itu, Allahyarham Ali Khamenei, di Masjid Imam Khomeini Mosalla, lapor Anadolu Ajansi.
Upacara pengebumian Khamenei dan anggota keluarganya dihadiri ratusan ribu orang yang berkabung, dengan ramai tiba di lokasi seawal pagi sambil membawa bendera Iran.
Solat jenazah di kompleks utama itu diimamkan oleh Ayatollah Jafar Sobhani.
Presiden Iran Masoud Pezeshkian, pegawai kanan tentera dan politik, serta tokoh agama merupakan antara yang menghadiri upacara berkenaan.
Khamenei terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran yang bermula pada 28 Feb, yang kemudiannya disusuli serangan balas oleh Iran.
Upacara pengebumian secara rasmi bermula pada Jumaat, dengan pemimpin asing serta delegasi rasmi dari seluruh rantau dan negara lain hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Pemimpin Agung Iran itu.
Menurut jadual rasmi, majlis penghormatan terakhir oleh orang ramai akan diikuti dengan perarakan pengebumian utama di Tehran pada Isnin.
Upacara pengebumian itu kemudian akan diteruskan di Qom pada 7 Julai.
Pada 8 Julai, beberapa upacara dijadualkan berlangsung di Iraq, termasuk di Baghdad, Najaf dan Karbala, apabila jenazah akan disambut oleh tokoh agama dan pemimpin politik sebelum dibawa ke makam utama Syiah.
Upacara terakhir iaitu pengebumian dijadualkan berlangsung pada 9 Julai di Makam Imam Ali Reza di bandar Mashhad, timur laut Iran, yang merupakan antara lokasi paling suci bagi penganut Syiah.
-- BERNAMA-ANADOLU