KINSHASA: Sekumpulan penyelidik mengesahkan penemuan spesies baharu monyet di Republik Demokratik Congo (DRC) yang mempunyai bibir berwarna jingga kemerahan, muka hitam dan bulu gelap, selepas haiwan itu ditemui bersembunyi di kawasan kanopi hutan tropika yang tebal.
Spesies berkenaan, yang dinamakan Colobus congoensis, ditemui di Taman Negara Lomami di bahagian tengah timur negara itu dan menjadi spesies monyet Afrika kelima yang dikenal pasti dalam tempoh 75 tahun lalu.
Menurut laporan BBC, ahli pemuliharaan pertama kali melihat haiwan itu pada 2008, namun ketika itu hanya berjaya memperoleh sekeping gambar kabur.
Penemuan semula pada 2018 mendorong pasukan penyelidik dari DRC, Amerika Syarikat dan Jerman menjalankan kajian terperinci termasuk rakaman audio, fotografi dan analisis genetik.
Penyelidik utama, Junior Amboko dari Florida Atlantic University, berkata penemuan itu merupakan pengalaman luar biasa kerana sangat sedikit individu yang mengetahui kewujudan spesies tersebut.
Walaupun penduduk tempatan mengenali haiwan itu dengan nama Likweli, spesies berkenaan hanya kini disahkan secara saintifik sebagai berbeza daripada monyet lain berdasarkan ciri genetiknya.
Menurut Amboko, monyet itu bersifat pemalu dan lazimnya berada tinggi di atas pokok, menjadikannya sukar dikesan.
"Kami menemubual penduduk di 52 kampung berhampiran habitat haiwan itu, tetapi hanya penduduk di lapan kampung pernah melihatnya," katanya.
Penyelidik percaya bibir berwarna terang pada monyet itu mungkin berfungsi sebagai isyarat visual kepada spesies lain, termasuk untuk mengenal pasti pasangan atau ahli kumpulan yang sama.
Spesies itu juga mempunyai bunyi panggilan yang kuat dan unik, namun kebiasaannya lebih mudah didengari berbanding dilihat.
Para saintis percaya populasi Colobus congoensis adalah kecil dan terhad kepada kawasan hutan tertentu yang menyediakan habitat serta sumber makanan yang diperlukan.
Penyelidik berharap pengiktirafan rasmi terhadap spesies itu dapat membantu usaha pemuliharaan, terutama kerana ia turut berdepan ancaman pemburuan di habitat semula jadinya.
Hasil kajian itu diterbitkan dalam jurnal saintifik PLoS One.