QUEENSLAND: Penyelidik menemui spesies labah-labah baharu di hutan hujan utara Australia yang menggunakan perangkap ala katapel untuk menangkap mangsa, satu kaedah unik yang jarang ditemui dalam dunia arachnid.
Labah-labah kecil yang belum dinamakan itu digelar “ballista”, bersempena senjata purba, kerana keupayaannya melontar mangsa dengan daya tinggi ke dalam jaringnya.
Menurut Prof Ajay Narendra dari Universiti Macquarie, perangkap tersebut mampu melancarkan mangsa dengan daya sehingga 15 kali ganda lebih tinggi daripada tekanan G yang dialami juruterbang jet.
Spesies ini hanya memburu semut pokok hijau yang agresif (Oecophylla smaragdina), yang terkenal dengan pertahanan kimia dan serangan berkumpulan.
Penyelidik percaya kaedah ini berkembang sebagai strategi khusus untuk menangkap mangsa berbahaya secara terkawal.
Kajian menunjukkan labah-labah membina perangkap berbentuk kon menggunakan benang sutera tegang sebelum bersembunyi.
Apabila semut menyentuh perangkap, ia akan terpicu dan melontarkan mangsa terus ke dalam jaring.
Menariknya, hanya spesies semut tersebut berjaya ditangkap, menandakan kemungkinan penggunaan feromon untuk menarik mangsa tertentu.
Penemuan yang diterbitkan dalam jurnal Current Biology ini dianggap unik kerana jaring tersebut direka khusus untuk satu jenis mangsa dan dipicu oleh mangsa sendiri, bukan oleh pemangsa.