KUALA LUMPUR: Ketekunan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam menuntut ilmu sehingga peringkat ijazah sarjana wajar dijadikan teladan kepada semua untuk terus menimba pengetahuan pada setiap peringkat kehidupan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau turut merafak sembah ucapan tahniah kepada Tengku Ampuan Pahang atas pengurniaan Ijazah Sarjana dalam bidang Pemikiran dan Tamadun Islam pada Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Ke-42.
“Ketekunan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku Ampuan Pahang dalam menuntut ilmu menjadi teladan buat kita semua untuk terus belajar pada setiap peringkat kehidupan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Shamsul Azri turut mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan Tunku Azizah keafiatan dan kesejahteraan yang berpanjangan.
Tengku Ampuan Pahang turut menerima Anugerah Pelajar Terbaik bagi program pengajian berkenaan pada majlis yang berlangsung di sini, semalam.
-- BERNAMA