DHAKA: Suhu panas melampau sehingga mencecah 42 celcius memaksa  kerajaan bangladesh menutup operasi persekolahan yang melibatkan 33 juta pelajar di negara itu.

Semua sekolah dan kolej akan ditutup sehingga Sabtu ini.

Untuk rekod, ini merupakan tahun kedua berturut-turut pihak berkuasa mengambil langkah sama akibat cuaca ekstrem.

Langkah penutupan itu juga selari dengan tindakan India dan Filipina susulan gelombang haba melanda seluruh Asia.

Pengarah Save The Children Bangladesh, Shumon Sengupta berkata, penutupan sekolah akibat gelombang haba memberi kesan terutamanya kepada kanak-kanak Bangladesh yang merupakan antara kelompok termiskin di dunia.

Sementara itu, ribuan penduduk berkumpul di sini untuk berdoa memohon hujan.

Biro Cuaca Bangladesh berkata, purata suhu maksimum di ibu negara sepanjang minggu lalu adalah empat ke lima darjah celsius lebih tinggi berbanding purata 30 tahun untuk tempoh yang sama. - Agensi

Suhu cecah 42 Celsius, Bangladesh tutup semua sekolah sehingga Sabtu ini