Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: Perbelanjaan negeri bertambah tiga kali ganda, Ab Rauf jawab dakwaan Rafizi

Ab Rauf mempersoalkan sumber maklumat berhubung dakwaan kadar perbelanjaan kerajaan negeri meningkat tiga kali ganda berbanding hasil sebenar sepanjang tempoh 2021 hingga 2024. - Gambar Astro AWANI
Ab Rauf mempersoalkan sumber maklumat berhubung dakwaan kadar perbelanjaan kerajaan negeri meningkat tiga kali ganda berbanding hasil sebenar sepanjang tempoh 2021 hingga 2024. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

AYER KEROH: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mempersoalkan sumber maklumat berhubung dakwaan kadar perbelanjaan kerajaan negeri meningkat tiga kali ganda berbanding hasil sebenar sepanjang tempoh 2021 hingga 2024.

Menurut Ab Rauf, sepanjang tempoh 22 tahun, Melaka buat pertama kali mencatatkan rekod pelaburan tertinggi berjumlah RM14.8 bilion pada tahun lalu.

“Pertama, saya tidak tahu dari mana maklumat itu diperoleh. Saya tidak mahu mengulas kerana kalau kita lihat daripada sudut pandangan mereka, memang mereka akan mencari seribu satu alasan untuk merendahkan keupayaan kerajaan negeri.

Advertisement

“Sedangkan sepanjang tempoh dua tahun saya mentadbir negeri, pada tahun lepas kita buat pertama kalinya menerima pelaburan terbesar dalam sejarah negeri Melaka iaitu RM14.8 bilion.

“Soal pendapatan kerajaan negeri juga, kita tidak pernah melihat perbelanjaan melebihi pendapatan. Saya tidak kisahlah apa yang dia nak cakap,” katanya ketika ditemui media selepas Program Jelajah Tok Rauf di DUN Pengkalan Batu, di sini pada Selasa.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung dakwaan peningkatan kadar perbelanjaan kerajaan negeri Melaka.

Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi sebelum ini mendakwa, perbelanjaan kerajaan negeri meningkat pada kadar purata 6.72 peratus setahun dalam tempoh itu, berbanding pertumbuhan hasil kutipan yang hanya 2.28 peratus setahun.

Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan, dakwaan itu tidak wajar dijadikan ukuran terhadap prestasi pentadbiran kerajaan negeri tanpa melihat pencapaian dan kedudukan kewangan negeri secara menyeluruh.

Beliau turut menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai pandangan pihak yang mempunyai pendirian berbeza terhadap kerajaan negeri.

“Bagi saya, kata orang Melayu, nak tahu baik orang tanya kawan dia, nak tahu jahat orang tanya musuh dia. Jadi faham-faham sahajalah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ab Rauf turut menafikan dakwaan kononnya terdapat 55 projek tertangguh di Melaka.

Beliau berkata, sebahagian projek yang berdepan masalah merupakan projek peninggalan pentadbiran terdahulu yang sedang diusahakan untuk diperbetulkan.

Jelas beliau lagi, kebanyakannya membabitkan projek di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Urusan pelantikan kontraktor, penyerahan kerja dan pemantauan bagi projek berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Saya tahu dan sedang berusaha untuk mempertingkatkan semula projek-projek ini.

“Insya-Allah, kalau Allah SWT memberikan saya keizinan, salah satu perkara yang saya mahu lakukan ialah membetulkan apa yang saya warisi untuk rakyat Melaka.

“Tetapi tidak betul 55 (projek tertangguh) itu… 55 itu tidak betul,” ujarnya.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, G Sivamalar semalam meminta Ab Rauf menjelaskan status terkini 55 projek pembangunan negeri yang didakwa masih belum dimulakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November depan sebagai Hari Pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. 
 

Must Watch Video

Advertisement