Skip to main content

Dunia

Sultan Brunei titah gelaran diraja isteri Putera Abdul Malik ditarik balik serta-merta

Insta @royalwatcherdiary.jpg (255.03 KB)
Pengiran Raabi’atul Adawiyyah merupakan isteri kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah. - Foto @royalwatcherdiary
Advertisement

BANDAR SERI BEGAWAN: Gelaran Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri yang dikurniakan kepada Pengiran Raabi’atul Adawiyyah Pengiran Haji Bolkiah telah ditarik balik berkuat kuasa serta-merta atas titah Sultan Brunei.

Perkara itu diumumkan Pemangku Grand Chamberlain, Pengiran Haji Raffizanna Pengiran Haji Razali menerusi satu kenyataan rasmi yang disiarkan media tempatan, RTB News.

Pengiran Raabi’atul Adawiyyah merupakan isteri kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Menurut laporan itu, penarikan balik gelaran berkenaan dibuat susulan tingkah laku yang didakwa tidak melayakkan beliau sebagai pasangan kepada Kerabat Diraja Brunei.

Selain itu, tindakannya juga dikatakan telah mencemarkan nama baik serta menunjukkan sikap tidak menghormati Sultan Brunei.

“Kelakuan berkenaan turut mencemarkan nama baik dan tidak menghormati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta Kerabat Diraja,” menurut laporan tersebut.

Bagaimanapun, tiada perincian lanjut mengenai bentuk kelakuan atau insiden yang membawa kepada keputusan berkenaan didedahkan dalam pengumuman rasmi itu.

Keputusan tersebut berkuat kuasa serta-merta mengikut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Must Watch Video

Advertisement