BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah mengambil tindakan undang-undang terhadap Greece dan Cyprus kerana gagal mematuhi piawaian Kesatuan Eropah (EU) berkaitan rawatan sisa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kedua-dua negara itu gagal melaksanakan peraturan EU yang “menetapkan piawaian bagi tapak pelupusan sampah untuk mencegah kesan buruk terhadap kesihatan manusia, air, tanah dan udara,” menurut kenyataan akhbar yang diterbitkan pada Khamis.
Greece dan Cyprus juga tidak mematuhi undang-undang EU yang mewajibkan negara anggota merawat sisa sebelum dilupuskan di tapak pelupusan supaya ia “tidak membahayakan kesihatan manusia dan alam sekitar, serta melarang pembuangan, pelonggokan atau pelupusan sisa secara tidak terkawal.”
Suruhanjaya itu berhubung dengan Athens sejak 2021 berhubung isu tapak pelupusan sampah negara berkenaan. Pada masa ini, 66 daripada 81 tapak pelupusan tidak mematuhi undang-undang EU, menurut kenyataan itu, sekali gus mendorong tindakan membawa Greece ke Mahkamah Keadilan Eropah (ECJ).
Kira-kira satu perlima daripada sisa yang dihasilkan di Cyprus masih dilupuskan di tapak pelupusan tanpa rawatan yang mencukupi, menurut Suruhanjaya Eropah.
“Suruhanjaya juga membuat kesimpulan bahawa di kedua-dua negara, kapasiti kemudahan untuk merawat sisa sebelum dilupuskan di tapak pelupusan adalah tidak mencukupi untuk merawat sisa perbandaran bercampur,” menurut kenyataan itu.
--BERNAMA-dpa