BERN: Kerajaan Switzerland pada Rabu memaklumkan bahawa ia memilih penyelesaian luar mahkamah berhubung insiden kebakaran sempena sambutan Tahun Baharu di sebuah bar di pusat peranginan ski Crans-Montana yang mengorbankan puluhan pengunjung, kebanyakannya golongan muda, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Kerajaan Bern telah melantik ahli ekonomi dan bekas ahli politik peringkat kanton Laurent Kurth sebagai pengerusi meja bulat yang bertujuan menghimpunkan mangsa, ahli keluarga, syarikat insurans, individu yang berpotensi bertanggungjawab serta pihak berkuasa, menurut satu kenyataan.
Advertisement
“Kurth mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan proses yang sangat kompleks melibatkan pelbagai pihak berkepentingan,” menurut kenyataan itu.
Tujuan meja bulat itu adalah untuk “mempermudah dialog dan membantu pihak terjejas merangka penyelesaian luar mahkamah.”
Kebakaran berlaku semasa sambutan malam Tahun Baharu di Bar Le Constellation.
Seramai 41 orang maut, kebanyakannya golongan muda, manakala sekitar 80 lagi cedera, kebanyakannya parah.
Percikan daripada bunga api hiasan telah menyebabkan bahan buih di siling terbakar.
Pengusaha bar Jessica dan Jacques Moretti serta beberapa pegawai bandar sedang disiasat atas tuduhan menyebabkan kematian akibat kecuaian, kecederaan serta pembakaran sengaja.
Bertentangan dengan keperluan yang ditetapkan, bar itu tidak menjalani pemeriksaan keselamatan kebakaran sejak 2019.
-- BERNAMA-dpa