KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan di Asia Pasifik mencatatkan keuntungan bersih gabungan sebanyak AS$12.1 bilion (AS$1=RM4.07) pada tahun 2025, didorong oleh permintaan penumpang dan kargo yang kukuh, manakala harga bahan api yang lebih rendah membantu mengimbangi tekanan kos yang berpunca daripada gangguan rantaian bekalan yang berterusan.
Menurut angka prestasi kewangan awal dikeluarkan Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA), syarikat penerbangan Asia Pasifik merekodkan hasil operasi agregat sebanyak AS$223.7 bilion bagi tahun tersebut, peningkatan sebanyak 4.3 peratus daripada AS$214.5 bilion pada 2024.
“Hasil penumpang menokok sebanyak 4.7 peratus kepada AS$178.4 bilion, didorong oleh pertumbuhan positif dalam trafik penumpang, membantu mengimbangi kesan penurunan sebanyak 2.8 peratus dalam hasil penumpang kepada 7.8 sen Amerika Syarikat (AS) bagi setiap hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK),” menurut kenyataan itu.
Hasil kargo melonjak sebanyak 1.4 peratus kepada AS$23.6 bilion, walaupun terdapat kelemahan dalam kadar tambang pengangkutan.
“Dalam persekitaran ekonomi global yang positif tahun lepas, rantau ini merekodkan peningkatan sebanyak 7.7 peratus dalam permintaan penumpang menyeluruh sistem, seperti yang diukur dalam RPK, dengan kedua-dua perjalanan jarak jauh dan perjalanan antara wilayah kekal rancak,” menurut persatuan berkenaan.
Jumlah perbelanjaan operasi gabungan meningkat sebanyak 4.3 peratus kepada AS$209.4 bilion untuk tahun tersebut, didahului oleh peningkatan 7.8 peratus dalam kos bukan bahan api kepada AS$151.1 bilion.
“Gangguan rantaian bekalan yang berterusan dan tekanan inflasi menyumbang kepada perbelanjaan yang lebih tinggi bagi kakitangan, pajakan, penyelenggaraan dan caj lapangan terbang,” menurut AAPA.
Sebaliknya, perbelanjaan bahan api merosot sebanyak 3.7 peratus kepada AS$58.3 bilion, mencerminkan penurunan 9.5 peratus dalam harga bahan api jet global kepada purata AS$88.8 setong.
Sehubungan itu, bahagian perbelanjaan bahan api sebagai peratusan daripada jumlah kos operasi menurun sebanyak 2.3 mata peratusan kepada 27.8 peratus pada 2025, menurut laporan itu.
Ketua Pengarah AAPA, Wong Hong berkata syarikat penerbangan di Asia Pasifik memasuki tahun 2025 dalam kedudukan kukuh, dengan permintaan penumpang dan kargo yang utuh menyokong satu lagi tahun pertumbuhan menguntungkan.
“Walaupun penurunan harga bahan api memberikan sedikit kelegaan, gangguan rantaian bekalan yang berterusan dan tekanan inflasi mendorong kos operasi bukan bahan api menjadi lebih tinggi.
“Disebabkan sebalik cabaran ini, syarikat penerbangan di rantau ini mengekalkan margin operasi pada 6.4 peratus, mencerminkan disiplin operasi berterusan dan ketangkasan dalam bertindak balas terhadap keadaan pasaran yang berkembang, katanya.
Bagaimanapun, Wong berkata konflik berterusan di Asia Barat bersama dengan ketegangan geopolitik, berkemungkinan menyumbang kepada kedudukan turun naik dalam pasaran minyak dan mata wang.
“Syarikat penerbangan sedang menghadapi persekitaran kos operasi yang sentiasa tinggi, diburukkan lagi oleh peningkatan mendadak dalam harga bahan api jet. Kesannya, perbelanjaan bahan api, item kos operasi tunggal terbesar bagi syarikat penerbangan, dijangka meningkat tahun ini,” katanya.
Melangkah ke depan, beliau berkata tekanan kos yang semakin meningkat boleh menjejaskan perbelanjaan pengguna dan sentimen perniagaan dalam beberapa bulan akan datang.
“Bagaimanapun, prospek secara umumnya kekal positif, memandangkan pasaran penumpang dan kargo udara pada masa ini kekal kukuh, disokong oleh pertumbuhan 4.4 peratus dalam ekonomi rantau ini tahun ini, katanya.
Beliau berkata syarikat penerbangan Asia Pasifik terus memperluaskan rangkaian dan tawaran perkhidmatan mereka dan mengekalkan kawalan kos yang ketat dalam persekitaran operasi mencabar.
-- BERNAMA