Skip to main content

Dunia

Syarikat penerbangan tawar penerbangan khas untuk gerhana matahari penuh pada Rabu

71577342925_TBGERHANAMATAHARICI.jpg
Gerhana matahari penuh pada Rabu itu akan melintasi kawasan Artik, Greenland, Iceland, Lautan Atlantik, utara Sepanyol dan sebahagian kecil timur laut Portugal. - Gambar hiasan
Advertisement

ISTANBUL: Beberapa syarikat penerbangan dan pengendali penerbangan sewa khas Eropah akan mengendalikan penerbangan khusus pada Rabu bagi membolehkan penumpang serta penyelidik menyaksikan gerhana matahari penuh dari altitud tinggi, sekali gus menjadikan fenomena astronomi yang jarang berlaku itu sebagai pengalaman penerbangan eksklusif, lapor Anadolu Ajansi.

Syarikat penerbangan Sepanyol, Iberia, menjadualkan penerbangan pemerhatian khas dengan kod IB1473, yang berlepas dan kembali ke Lapangan Terbang Madrid-Barajas.

Menggunakan pesawat Airbus A321XLR, penerbangan itu dijadualkan melintasi wilayah Palencia pada ketinggian kira-kira 10,000 meter (33,000 kaki) bagi membolehkan penyelidik daripada projek Shelios dan penumpang memerhatikan gerhana itu dari kedudukan di atas lapisan awan rendah yang mungkin menghalang pandangan. Nombor penerbangan itu dipilih sebagai merujuk kepada tahun kelahiran ahli astronomi Nicolaus Copernicus.

Di Belgium, Brussels Airlines menyewa khas pesawat Airbus A320 dengan kerjasama balai cerap awam Urania dan universiti tempatan. Penerbangan singkat itu menuju ke barat Perancis bagi membolehkan penumpang menyaksikan gerhana matahari separa yang hampir penuh.

Air Charter Service yang berpangkalan di UK pula mengendalikan penerbangan pergi-balik pada hari yang sama dari London Stansted, dengan destinasi akan dipilih sama ada Valladolid, Kepulauan Balearic atau Keflavik berdasarkan ramalan cuaca. Syarikat itu mengenakan bayaran £899 bagi setiap tempat duduk dan menyatakan yang tambang tersebut merangkumi ruang bagasi untuk peralatan teleskop, hidangan serta pengangkutan ke kawasan pemerhatian yang diluluskan.

Tiket bagi beberapa penerbangan ini habis dijual.

Gerhana matahari penuh pada Rabu itu akan melintasi kawasan Artik, Greenland, Iceland, Lautan Atlantik, utara Sepanyol dan sebahagian kecil timur laut Portugal, menandakan gerhana penuh pertama yang dapat dilihat dari tanah besar Eropah sejak 1999. Gerhana separa yang meliputi kawasan lebih luas pula akan dapat dilihat di utara Amerika Syarikat, sebahagian besar Kanada, kebanyakan kawasan di Eropah serta barat laut Afrika.

NASA merancang untuk menyiarkan acara itu secara langsung bermula 1.15 petang EDT, menampilkan paparan fasa gerhana penuh menerusi kamera di sepanjang laluan gerhana berserta ulasan daripada saintis. Agensi Angkasa Eropah (ESA) juga memantau laluan gerhana merentasi benua itu, dengan menyatakan bahawa Sepanyol akan mengalami kawasan liputan gerhana penuh yang paling luas di Eropah.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement