"Mabrook li kul Al Iraqeen." (Tahniah kepada semua rakyat Iraq).

Demikian perutusan gembira dan penuh bersemangat daripada seorang rakyat Iraq yang tinggal di Malaysia sejak 15 tahun lepas kepada Kerajaan Iraq ketika rakyat negara itu merayakan pembebasan bandar raya Mosul daripada kumpulan militan Daish.

Pensyarah kanan Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing Dr Yahya Muneed Ahmad berkata pembebasan bandar raya itu merupakan kemenangan besar bagi seluruh rakyat Iraq kerana ia menandakan berakhirnya penderitaan yang mencengkam rakyatnya.

"Semua rakyat Iraq menunggu kemenangan ini dan bagi saya, ia istimewa kerana ibu bapa saya berasal dari Mosul. Alhamdulillah! Terima kasih kepada pihak tentera. Saya berharap seluruh penduduk dunia akan hidup dengan aman dan saya berharap Mosul (keamanan dan pembangunan) akan kembali wujud dengan secepat mungkin," kata pensyarah berusia 54 tahun itu kepada Bernama ketika ditemukan di Kedutaan Iraq di sini pada Rabu, bagi merayakan pembebasan Mosul.

Mosul, 400km di utara Baghdad, ibu negara Iraq, dikuasai Daish sejak Jun 2014. Kumpulan militan itu menjadikan bandar raya berkenaan markas mereka dan menduduki sebahagian besar kawasan di wilayah utara dan barat Iraq.

Penguasaan Daish terhadap Mosul berakhir apabila mereka dikalahkan pasukan tentera Iraq setelah berperang selama hampir sembilan bulan.

Perdana Menteri Iraq Haider al-Abadi mengisytiharkan pada Isnin bahawa Mosul telah dibebaskan daripada penguasaan Daish setelah mengharungi peperangan sengit selama sembilan bulan untuk mengusir kumpulan militan ekstremis itu dari kubu kuat terakhir mereka di Iraq.

Isteri Yahya, Dr Suhair Kammona, 52, pula menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pasukan polis Iraq atas kejayaan mereka menyelamatkan Mosul daripada serangan militan setelah melalui perjuangan dan pengalaman yang amat pedih.

"Apabila saya mendengar akhirnya Mosul diisytihar bebas daripada Daesh, saya menangis. Saya mengalirkan air mata paling mahal yang saya miliki. Alhamdulillah. Kami akan dapat menikmati kehidupan dalam suasana harmoni," kata pereka fesyen itu yang mengenakan pakaian celoreng bagi menggambarkan sokongannya kepada Mosul.

Pelajar peringkat PhD Universiti Putra Malaysia, Mohammed Ibrahim, 50 yang lahir di Mosul pula menceritakan pengalaman pahit rakyat Iraq dalam mendepani keganasan kumpulan militan itu termasuk mencuri wang, memusnahkan bangunan, membunuh orang tidak bersalah dan menyebabkan yang lain hidup menderita.

"Kalau seseorang itu sekadar memegang bendera Iraq, Daish (militan) akan membunuhnya. Sekiranya orang lelaki ingin menyimpan janggut, mereka perlu membayar 50,000 dinar Iraq (kira-kira RM185) setiap bulan, sedangkan kebanyakan mereka tidak mendapat gaji sebanyak itu kerana Daish (militan) akan merampas wang untuk menguatkan kedudukan mereka dalam memerangi siapa sahaja.

"Militan juga memaksa kanak-kanak menyertai mereka dan jika enggan, emak atau bapa mereka akan dibunuh. Demikianlah beberapa tindakan kejam yang dilakukan Daish... tidak berhati perut...dan militan (juga) membakar perpustakaan Universiti Mosul menyebabkan hampir 60,000 buku dan manuskrip musnah dijilat api," katanya.

Duta Besar Iraq ke Malaysia Prof Dr Basim Hattab Al-Tumma berkata jumlah orang awam yang terbunuh sepanjang tempoh Mosul diserang ialah kira-kira 100,000 orang.

"Kesemua mereka dibunuh tanpa sebab, kenapa mereka (Daish) lakukannya? Mereka menyalah tafsir ajaran kitab suci al-Quran. Membunuh orang yang tidak bersalah merupakan jenayah terhadap kemanusiaan. Al-Quran melarang perbuatan seperti itu.

"Kami harap dengan kemenangan ini, Mosul akan kembali kepada keadaan asalnya... kami kaya dengan sejarah, kini tibalah masanya untuk rakyat Iraq bangkit kembali," katanya.

Basim berkata Mosul akan dibangunkan semula dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (Unesco) dan Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi memulihara nilai sejarahnya.

-- BERNAMA