INTERNATIONAL
Tanpa buku teks dan pakaian seragam, pelajar Gaza kembali belajar di sekolah yang musnah

Pelajar Gaza kembali ke sekolah yang musnah akibat peperangan, meskipun menghadapi cabaran besar dan kekurangan kemudahan. -Reuters
GAZA: Tanpa dilengkapi pakaian seragam atau lembaran buku teks, pelajar Gaza kembali ke sekolah mereka yang musnah untuk menyambung pendidikan, meskipun berdepan cabaran besar akibat peperangan Israel baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Pelajar Gaza kembali ke sekolah yang musnah akibat peperangan, meskipun menghadapi cabaran besar dan kekurangan kemudahan.
- Pendidikan dianggap sebagai cara untuk mengatasi kesukaran hidup, dengan pelajar menunjukkan keazaman kuat untuk terus belajar walaupun dalam keadaan sukar.
- Pihak berkuasa pendidikan Gaza memperkenalkan platform pendidikan dalam talian dan menggunakan khemah atau pusat pendidikan sementara untuk memastikan pelajar dapat terus belajar.
Walaupun keadaan sukar, Ihab percaya pendidikan merupakan satu-satunya cara untuk mengatasi kesukaran hidup.
"Saya mendapat kawan baharu yang berkongsi azam sama untuk terus belajar, tanpa mengira keadaan.
"Pendidikan adalah senjata kami melawan kejahilan dan kami percaya ilmu boleh mengubah dunia," katanya.
Namun, kembali ke sekolah turut meninggalkan kesan mendalam terhadap emosi Ihab.
"Saya mendapati ramai rakan sekelas saya tidak lagi ada di sini. Ada yang terbunuh oleh tentera Israel, dan ada yang terpaksa berpindah ke bahagian lain di Gaza," katanya.
Pada Ahad, pihak berkuasa pendidikan Gaza mengumumkan permulaan tahun akademik baharu, menandakan kali pertama kelas disambung semula sejak perang Israel ke atas Gaza pada Oktober 2023.
Dalam satu sidang media, pihak berkuasa pendidikan mengesahkan bahawa ratusan ribu pelajar kini menghadiri kelas di tapak runtuhan sekolah mereka.
Dengan lebih 80 peratus sekolah musnah, ramai pelajar kini belajar di dalam khemah atau pusat pendidikan sementara, menurut pihak berkuasa pendidikan.
Pihak berkuasa juga memperkenalkan platform pendidikan dalam talian bagi mereka yang tidak dapat hadir ke sekolah.
Ibrahim Abdel Rahman, seorang pelajar dari kem Jabalia di utara Gaza, meluahkan rasa kecewanya kerana tidak dapat kembali ke sekolah.
"Saya bermimpi untuk kembali ke sekolah dan bertemu dengan rakan-rakan dan guru-guru, tetapi kemusnahan sekolah menyebabkan itu mustahil.
"Malah, pembelajaran dalam talian adalah sukar kerana gangguan internet yang berterusan.
"Saya khuatir kehilangan tahun akademik atau pendidikan saya sepenuhnya jika keadaan ini berterusan," katanya.
Sementara itu, Amina Hana, seorang guru bahasa Arab di Gaza berkata, walaupun berdepan kemusnahan harta benda, para pelajarnya menunjukkan keazaman yang kuat untuk terus belajar.
"Kami telah belajar daripada anak-anak ini bahawa pendidikan bukan sekadar usaha akademik, tetapi satu bentuk ketabahan menghadapi cabaran
"Harapan di dalam hati mereka lebih kuat mengatasi segala kesukaran," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami