DUNIA
Tarif perdagangan: AS-Indonesia capai persetujuan, ini perincian perjanjian

Trump menyifatkan perjanjian itu memberi manfaat besar kepada sektor pembuatan, pertanian dan digital negara itu. - Foto fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan satu perjanjian perdagangan bersejarah dengan Indonesia yang dijangka membuka akses pasaran yang luas kepada pengeksport AS.
Ringkasan AI
- Perjanjian Timbal Balas Bersejarah: Indonesia bersetuju menghapuskan tarif ke atas lebih 99 peratus produk eksport AS, manakala AS mengenakan tarif 19 peratus ke atas produk Indonesia - langkah ini dijangka menguntungkan sektor pembuatan, pertanian dan digital AS.
- Pembukaan Akses Pasaran & Kerjasama Strategik: Perjanjian merangkumi pengiktirafan piawaian keselamatan AS, penghapusan halangan bukan tarif, serta komitmen terhadap hak buruh; Indonesia juga akan membekalkan mineral kritikal dan membeli produk Boeing serta tenaga AS bernilai berbilion dolar.
- Menangani Defisit & Perluasan Kerjasama Ekonomi: Dengan defisit perdagangan bernilai AS$17.9 bilion, perjanjian ini dilihat sebagai langkah susulan pengisytiharan darurat perdagangan oleh Trump dan membuka laluan kepada kerjasama dalam keselamatan ekonomi dan rantaian bekalan.
Perjanjian yang dinamakan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas AS-Indonesia itu menyaksikan Indonesia bersetuju untuk menghapuskan halangan tarif ke atas lebih 99 peratus produk eksport Amerika Syarikat, manakala Amerika Syarikat akan mengenakan kadar tarif timbal balas sebanyak 19 peratus ke atas barangan dari Indonesia.
"Amerika Syarikat kini akan menjual produk buatan Amerika ke Indonesia pada kadar sifar tarif, manakala Indonesia akan membayar 19 peratus ke atas semua produk mereka yang masuk ke Amerika Syarikat. Ini pasaran terbaik di dunia!
"Indonesia akan membekalkan mineral kritikal kepada AS dan menandatangani perjanjian besar bernilai berpuluh bilion dolar untuk membeli pesawat Boeing, produk pertanian dan tenaga AS.
"Perjanjian ini adalah kemenangan besar untuk pengeluar kenderaan, syarikat teknologi, pekerja, petani, penternak dan pengilang kami," katanya menerusi akaun di Truth Social.
Ini perincian yang dikongsikan White House dalam satu kenyataan media:
Perincian Utama
Melalui perjanjian ini, Indonesia akan:
- Menghapuskan tarif ke atas eksport AS dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, kesihatan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), automotif dan bahan kimia
- Mengiktiraf piawaian keselamatan dan peraturan AS bagi kenderaan, farmaseutikal dan peranti perubatan
- Menghapuskan halangan bukan tarif seperti keperluan kandungan tempatan dan pemeriksaan pra-penghantaran
- Menerima pensijilan keselamatan makanan AS dan memberikan akses pasaran kekal bagi produk daging, tenusu dan tumbuhan dari Amerika
- Menghapuskan tarif ke atas produk digital tidak ketara
- Menyokong moratorium kekal ke atas duti kastam bagi penghantaran elektronik di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)
- Mengiktiraf undang-undang perlindungan data AS, membolehkan aliran data rentas sempadan
Menangani Ketidakseimbangan Perdagangan
Amerika Syarikat kini mencatatkan defisit perdagangan barangan ke-15 terbesar dengan Indonesia, berjumlah AS$17.9 bilion pada tahun 2024.
Sebelum perjanjian ini, kadar tarif purata yang dikenakan oleh Indonesia ialah 8 peratus, berbanding 3.3 peratus oleh Amerika Syarikat.
Trump sebelum ini telah mengisytiharkan darurat nasional pada 2 April bagi menangani defisit perdagangan yang berterusan dan amalan perdagangan tidak adil.
Perjanjian baharu ini dilihat sebagai langkah langsung susulan pengisytiharan tersebut.
Kerjasama Strategik
Kedua-dua negara turut bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam keselamatan ekonomi, termasuk daya tahan rantaian bekalan, kawalan eksport dan penapisan pelaburan.
Indonesia akan menyertai Global Forum on Steel Excess Capacity dan menghapuskan sekatan eksport ke AS bagi semua komoditi industri termasuk mineral kritikal.
Perjanjian ini juga dijangka membuka jalan kepada urus niaga komersial dalam sektor pertanian, aeroangkasa dan tenaga, yang akan meningkatkan lagi eksport AS ke Indonesia.
Perjanjian ini akan dimuktamadkan secara rasmi dalam beberapa minggu akan datang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami