DUNIA
Taufan Danas melemah selepas ragut nyawa, cetus kerosakan di Taiwan

Taufan Danas melemah menjadi ribut tropika pada Isnin selepas meragut dua nyawa dan mencederakan lebih 330 orang di Taiwan. - Foto AP
TAIPEI: Taufan Danas melemah menjadi ribut tropika pada Isnin selepas meragut dua nyawa dan mencederakan lebih 330 orang di Taiwan, lapor agensi berita Jerman dpa memetik pihak berkuasa.
Pusat Operasi Kecemasan Pusat (CEOC) mengesahkan dua kematian di bandar selatan Tainan, termasuk seorang lelaki berusia 60 tahun yang meninggal dunia selepas gangguan bekalan elektrik menjejaskan ventilator di rumahnya.
Dalam kejadian lain, seorang lelaki berusia 69 tahun maut apabila kenderaannya melanggar pokok tumbang akibat angin kencang.
Menurut pihak berkuasa, sekurang-kurangnya 334 orang cedera ketika Danas melanda pantai barat Taiwan, membawa hujan lebat dan angin sehingga 220 kilometer sejam, menumbangkan pokok, mencabut bumbung rumah dan menyebabkan pelbagai kemalangan jalan raya.Sekolah dan premis perniagaan masih ditutup di bahagian tengah dan selatan pulau itu pada Ahad, manakala Pentadbiran Penerbangan Awam memaklumkan 143 penerbangan domestik dan 33 penerbangan antarabangsa dibatalkan.
Menurut Pentadbiran Cuaca Pusat (CWA), Danas meninggalkan Taiwan pada pagi Isnin dan bergerak ke arah utara.
Pihak berkuasa cuaca China pada Isnin mengeluarkan amaran hujan lebat dan angin kencang, dengan ribut itu dijangka tiba di wilayah tenggara Fujian dan Zhejiang pada Selasa.
--BERNAMA-dpa
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami