BOGOTA: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pakej bantuan keselamatan bernilai AS$1 bilion (RM4.09 bilion) kepada Colombia hanya beberapa jam selepas Presiden baharu negara itu, Abelardo de la Espriella, mengangkat sumpah jawatan.
De la Espriella, pemimpin berhaluan kanan yang sering dibandingkan dengan Presiden AS Donald Trump, berikrar melancarkan “perang habis-habisan” terhadap kartel dadah dan kumpulan jenayah terancang dalam ucapan sulungnya sebagai presiden.
Jabatan Negara AS berkata bantuan tersebut akan menyokong usaha kedua-dua negara dalam memerangi jenayah terancang dan pendatang tanpa izin, selain mengukuhkan kerjasama keselamatan antara Washington dan Bogota.
Bekas peguam dan ahli perniagaan itu memenangi pilihan raya Jun lalu dengan kempen berteraskan pendekatan tegas terhadap jenayah, sambil berjanji mentadbir menggunakan “tangan besi” bagi memulihkan keselamatan negara.
Dalam ucapan di sebuah pangkalan tentera, beliau berikrar untuk menumpaskan kumpulan pemberontak bersenjata serta memastikan tiada kawasan di Colombia menjadi tempat perlindungan penjenayah.
Pendekatan itu berbeza dengan dasar “keamanan menyeluruh” yang diperkenalkan bekas Presiden Gustavo Petro, yang lebih menekankan rundingan dengan kumpulan bersenjata dan usaha mengurangkan penanaman coca.
Namun, dasar tersebut dikritik kerana gagal membendung pengaruh kumpulan bersenjata yang terus berkembang.
Sebagai antara tindakan pertama selepas mengambil alih kuasa, de la Espriella mengumumkan penyertaan Colombia dalam pakatan keselamatan “Shield of the Americas”, yang diasaskan oleh Trump.
Washington turut menyambut baik langkah itu dan menyatakan agenda pro-pertumbuhan ekonomi de la Espriella membuka ruang untuk memperkukuh perdagangan serta hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
Kemenangan de la Espriella dilihat sebagai sebahagian daripada trend peralihan politik ke kanan di beberapa negara Amerika Latin, didorong oleh cabaran ekonomi dan kebimbangan terhadap peningkatan keganasan jenayah di rantau tersebut.