Skip to main content

Dunia

Tembakan dilepaskan di luar konsulat AS di Toronto, insiden kedua dalam empat bulan

Toronto Police Deputy Chief Frank Barredo speaks as Toronto Mayor Olivia Chow stands beside him during a press conference at the scene of a shooting at the U.S. Consulate in Toronto, Ontario, Canada, July 27, 2026. REUTERS/Arlyn McAdorey
Timbalan Ketua Polis Toronto, Frank Barredo, bercakap pada sidang media di lokasi kejadian tembakan di Konsulat AS di Toronto, Ontario, Kanada, sambil diperhatikan Datuk Bandar Toronto, Olivia Chow. - Foto REUTERS
Advertisement

TORONTO: Sekurang-kurangnya satu das tembakan dilepaskan di luar bangunan Konsulat Jeneral Amerika Syarikat (AS) di Toronto, Kanada, dalam insiden kedua seumpamanya yang berlaku dalam tempoh empat bulan.

Polis Toronto memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian yang berlaku awal pagi Ahad itu, namun selongsong peluru ditemukan di lokasi kejadian dan bahagian luar bangunan mengalami kerosakan.

Menurut pihak berkuasa, sebuah kereta sedan berwarna putih dilihat meninggalkan kawasan berkenaan sekitar jam 5 pagi waktu tempatan.

Polis sempat mengejar kenderaan itu dalam tempoh singkat sebelum menghentikan usaha tersebut atas faktor keselamatan selepas kereta berkenaan dipandu pada kelajuan yang sangat tinggi.

Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian.

Jurucakap Jabatan Negara AS berkata, Washington sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Kanada bagi menyiasat insiden berkenaan.

Polis Toronto bagaimanapun enggan membuat sebarang spekulasi mengenai punca serangan atau sama ada ia mempunyai kaitan dengan insiden terdahulu yang turut menyasarkan konsulat tersebut.

Perdana Menteri Ontario, Doug Ford, menegaskan pihak bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.

"Saya menjangkakan semua yang terlibat akan dikesan, didakwa dan dikenakan hukuman setimpal mengikut undang-undang," katanya.

Insiden terbaharu itu merupakan serangan kedua yang menyasarkan Konsulat AS di Toronto tahun ini.

Pada 10 Mac lalu, beberapa das tembakan turut dilepaskan ke arah bangunan yang sama. Susulan siasatan kes tersebut, seorang anggota polis terbunuh ketika operasi untuk menahan individu yang dipercayai terlibat.

Dalam perkembangan berkaitan, Polis Toronto pada Jun lalu mendakwa terdapat golongan muda di kawasan Toronto direkrut menerusi aplikasi pesanan yang disulitkan untuk melepaskan tembakan ke arah sasaran tertentu dan merakam tindakan itu sebagai balasan kepada bayaran yang diterima.

Antara sasaran yang disebut pihak polis termasuk rumah ibadat Yahudi, sekolah Yahudi, sebuah syarikat pengurusan sisa dan Konsulat AS di Toronto.

Bagaimanapun, polis tidak mengemukakan bukti berhubung dakwaan itu dan memaklumkan siasatan masih diteruskan dengan kerjasama Polis Berkuda Diraja Kanada (RCMP) serta Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

 

Must Watch Video

Advertisement