CHICAGO: Sambutan Hari Bapa bertukar tragedi apabila dua individu dilaporkan maut dan sekurang-kuranganya tiga yang lain cedera dalam insiden tembakan rambang di sebuah bandar di selatan Chicago, Amerika Syarikat (AS).

Menurut stesen tempatan WLS-TV, insiden penembakan itu berlaku di sebuah taman di kawasan Roseland di bandar tersebut.

Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku apabila seorang individu mula melepaskan beberapa das tembakan ke arah kumpulan individu yang sedang menyambut sambutan Hari Bapa.

Kejadian ini merupakan salah satu daripada beberapa insiden penembakan yang direkodkan pada hujung minggu.

Menurut perolehan data dan rekod bandar, terdapat 29 mangsa keganasan senjata api dari Jumaat malam hingga Sabtu.

Dalam pada itu, White House menyuarakan kekesalan terhadap beberapa insiden tembakan yang berlaku terutamanya nasib yang menimpa mangsa korban dan keluarga.

Selain itu, Gabenor Illinois, JB Pritzker berkata, kes sedang disiasat dan pemantauan berkenaan kejadian sedang dilaksanakan.