Skip to main content

Dunia

Tentera AS dakwa lumpuhkan kapal tangki minyak di Selat Hormuz

Sumber: X OSINTtechnical
Menurut CENTCOM, kapal yang berdaftar di Curacao itu dikesan sedang belayar di perairan antarabangsa menuju ke Pulau Kharg. - Foto X/MenchOsint
Advertisement

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) mendakwa telah melumpuhkan sebuah kapal tangki minyak di Selat Hormuz selepas kapal berkenaan didakwa cuba menuju ke sebuah pelabuhan Iran sambil melanggar sekatan yang dikuatkuasakan Washington.

Dalam satu kenyataan, Markas Pemerintah Pusat AS (CENTCOM) berkata pasukannya melaksanakan langkah penguatkuasaan sekatan laut terhadap Iran pada 15 Julai dengan melumpuhkan kapal tangki minyak kosong yang dikenali sebagai M/T Belma.

Menurut CENTCOM, kapal yang berdaftar di Curacao itu dikesan sedang belayar di perairan antarabangsa menuju ke Pulau Kharg, yang menempatkan terminal eksport minyak utama Iran di Teluk Arab.

"Pasukan AS memerhatikan M/T Belma yang berdaftar di Curacao sedang melalui perairan antarabangsa menuju ke Pulau Kharg.

"Kapal komersial itu mengabaikan beberapa amaran ketika cuba melanggar sekatan AS," menurut kenyataan itu.

CENTCOM mendakwa sebuah pesawat tentera AS kemudiannya melepaskan peluru berpandu Hellfire ke cerobong asap kapal berkenaan, menyebabkan ia tidak lagi mampu meneruskan pelayaran ke Iran.

"Pesawat AS melumpuhkan kapal itu selepas menembakkan peluru berpandu Hellfire ke cerobong asapnya. Kapal tersebut tidak lagi bergerak menuju ke Iran," menurut kenyataan itu lagi.

Setakat ini, tiada pengesahan segera daripada pihak Iran atau pengendali kapal berhubung dakwaan yang dibuat oleh tentera AS itu.

Insiden berkenaan berlaku di Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang menjadi antara laluan penghantaran minyak terpenting di dunia dan sering menjadi tumpuan ketegangan antara Washington dan Tehran.

 

Must Watch Video

Advertisement