Skip to main content

Dunia

Tentera Israel serbu Tebing Barat, peneroka serang rumah rakyat Palestin

61737526753_Gaza.jpg
Pasukan itu menyerbu puluhan rumah, menjalankan siasatan lapangan dan menahan penduduk selama beberapa jam, selain memukul beberapa lelaki muda serta merosakkan barangan di beberapa kediaman. - Gambar fail
Advertisement

ISTANBUL: Tentera Israel menyerbu sebuah bandar di Tebing Barat yang diduduki awal Sabtu, manakala peneroka haram Israel menyerang rumah dan harta benda milik penduduk Palestin berhampiran Baitulaham, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik agensi berita rasmi Palestin, Wafa.

Kira-kira 15 kenderaan tentera Israel memasuki bandar Yabad, di barat daya Jenin, menerusi pintu masuk barat bandar itu selepas tentera menutup laluan masuk menggunakan timbunan tanah, menurut Wafa.

Pasukan itu menyerbu puluhan rumah, menjalankan siasatan lapangan dan menahan penduduk selama beberapa jam, selain memukul beberapa lelaki muda serta merosakkan barangan di beberapa kediaman.

Datuk Bandar Yabad, Samer Abu Bakr, memberitahu Wafa bahawa tentera Israel menjadikan rumah penduduk Palestin, Ibrahim Amour, sebagai pusat siasatan lapangan, dengan beberapa penduduk ditahan di situ selama beberapa jam.

Dalam insiden berasingan, peneroka haram Israel menyerang rumah penduduk Palestin, Ahmad al-Hajj, di kawasan Perumahan Universiti di timur Baitulaham dengan memecahkan semua tingkap rumah itu, menurut sumber keselamatan yang dipetik Wafa.

Agensi itu turut melaporkan bahawa peneroka haram menggembala kambing berhampiran rumah penduduk Palestin di kawasan Hamroush di Beit Fajjar, selatan Baitulaham, manakala sekumpulan lagi dilihat berhampiran rumah Ibrahim Abu Odeh di kawasan Abu Najim di timur Baitulaham.

Sejak permulaan perang genosid Israel di Genting Gaza pada 7 Okt 2023, tentera Israel dan peneroka haram telah meningkatkan serangan di seluruh Tebing Barat, mengorbankan sekurang-kurangnya 1,182 rakyat Palestin, mencederakan kira-kira 13,000 yang lain dan menahan hampir 25,000 orang, menurut angka rasmi Palestin.

Pegawai Palestin memberi amaran bahawa peningkatan serangan itu bertujuan membuka laluan kepada pengilhakan rasmi Tebing Barat oleh Israel, sekali gus menjejaskan prospek penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka seperti yang digariskan dalam resolusi berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement