ISLAMABAD: Serpihan bangkai sebuah pesawat kargo milik syarikat penerbangan Pakistan ditemukan di Laut Arab, namun lima kru pesawat itu masih belum dapat dikesan, menurut pihak berkuasa lapangan terbang Pakistan pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Unit Tentera Laut Pakistan menemukan serpihan pesawat Boeing 737 itu di perairan berhampiran Amara, di barat Karachi, selepas operasi pencarian selama 12 jam, menurut kenyataan pihak berkuasa menerusi platform media sosial X.
Hubungan dengan pesawat itu terputus lewat Selasa.
Pihak berkuasa berkata keadaan laut bergelora susulan permulaan musim monsun menjejaskan operasi pencarian.
K2 Airways menamakan kelima-lima anggota kru itu dalam satu hantaran di Facebook.
"K2 Airways memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Pakistan dan agensi kerajaan lain. Kami terus berdoa agar rakan sekerja kami selamat," menurut syarikat penerbangan itu.
Pada Rabu, Perdana Menteri Shehbaz Sharif menyatakan rasa dukacita terhadap nahas itu dan mengucapkan takziah kepada anggota keluarga kru.
Menurut pihak berkuasa lapangan terbang, pesawat itu kehilangan altitud dengan pantas sebelum hilang daripada radar kawalan trafik udara pada petang Selasa selepas kru melaporkan masalah navigasi.
Pesawat itu dalam penerbangan dari Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Karachi.
K2 Airways, sebuah syarikat penerbangan swasta Pakistan, memulakan operasi pada 2018.
Laporan terdahulu menyatakan kru pesawat terdiri daripada dua juruterbang, dua jurutera dan seorang penyelia muatan.
Pesawat Boeing 737 itu mula digunakan sebagai pesawat penumpang pada 1999 sebelum diubah suai untuk operasi kargo.
-- BERNAMA-dpa