WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) dilaporkan menembak jatuh dron milik Iran selepas ia dilancarkan ke arah kapal komersial yang melalui Selat Hormuz, sekali gus menambah ketegangan di laluan perkapalan penting dunia itu.
Menurut laporan media antarabangsa, Iran dipercayai melancarkan dron ke arah kapal yang sedang melalui selat berkenaan pada Khamis malam.
Seorang pegawai kanan AS memberitahu media bahawa tindakan itu dilihat sebagai cubaan menyerang kapal komersial.
“Iran kelihatan cuba menyerang kapal komersial yang melalui Selat Hormuz malam ini,” katanya.
Pegawai tersebut turut memaklumkan bahawa tentera AS berjaya menembak jatuh dua dron serangan satu hala milik Iran dalam operasi pertahanan.
Selat Hormuz merupakan laluan strategik yang menghubungkan Teluk Parsi dengan laut terbuka dan menjadi laluan bagi sebahagian besar penghantaran minyak global.
Sebelum ini, tentera AS menyatakan bahawa dron Iran yang dilancarkan ke kawasan tersebut dilihat sebagai ancaman langsung kepada trafik maritim di rantau itu.
Insiden terbaharu ini berlaku ketika ketegangan antara Washington dan Tehran masih tinggi, walaupun kedua-dua pihak dilihat meneruskan rundingan bagi meredakan konflik.
Dalam perkembangan berkaitan, tentera Iran sebelum ini mengumumkan bahawa mereka telah menghentikan sebuah kapal yang disifatkan sebagai “melanggar peraturan” ketika cuba melalui Selat Hormuz.
Tehran turut mengisytiharkan laluan tersebut ditutup kepada semua kapal, dengan amaran bahawa mana-mana kapal yang cuba melaluinya tanpa kebenaran boleh menjadi sasaran.
Insiden ini menambah tekanan terhadap gencatan senjata rapuh antara kedua-dua negara, yang sejak kebelakangan ini sering dicabar melalui siri serangan balas di darat dan laut.
Pertukaran tindakan ketenteraan, termasuk serangan dron dan pemintasan oleh tentera AS, dilihat meningkatkan risiko konflik lebih besar di rantau Asia Barat.
Penganalisis memberi amaran bahawa sebarang gangguan di Selat Hormuz boleh memberi kesan besar kepada pasaran tenaga global, memandangkan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia melalui laluan tersebut.
Walaupun tiada laporan kerosakan ke atas kapal komersial dalam insiden terbaru, perkembangan ini terus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan laluan perkapalan antarabangsa serta kestabilan bekalan tenaga.
Setakat ini, kedua-dua pihak belum menunjukkan tanda untuk meredakan sepenuhnya ketegangan, dengan operasi ketenteraan terus berjalan seiring usaha diplomatik yang masih belum mencapai kata putus.