Skip to main content
Advertisement

Dunia

Terusan Panama tambah jumlah laluan harian menerusi pintu air lebih besar

41738553393_PanamaCanal.jpg
Terusan Panama akan meningkatkan jumlah laluan harian menerusi pintu air Neopanamax yang lebih besar kepada 10 mulai 15 Okt, menurut Pihak Berkuasa Terusan Panama pada Isnin. - Gambar fail
Advertisement

PANAMA CITY: Terusan Panama akan meningkatkan jumlah laluan harian menerusi pintu air Neopanamax yang lebih besar kepada 10 mulai 15 Okt, menurut Pihak Berkuasa Terusan Panama pada Isnin, lapor Xinhua.

Langkah itu akan menjadikan jumlah keseluruhan slot laluan harian menerusi kedua-dua set pintu air kepada 33.

Pihak berkuasa terusan itu memaklumkan keputusan berkenaan dibuat berdasarkan paras air semasa dan unjuran paras air di Tasik Gatun, sumber air utama bagi terusan yang menghubungkan Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik itu.

Taburan hujan yang menghampiri paras purata di kawasan tadahan terusan itu turut membolehkan pihak berkuasa menetapkan sarat maksimum kapal yang menggunakan pintu air Neopanamax pada 14.94 meter (49 kaki), berkuat kuasa serta-merta. Sarat kapal ialah kedalaman badan kapal di bawah garis air.

Ketika kekurangan air berterusan, pihak berkuasa itu memaklumkan sistem tempahannya kekal sebagai satu-satunya cara untuk menjamin laluan pada tarikh tertentu.

Pihak berkuasa itu turut memaklumkan bahawa paras air dan taburan hujan akan terus dipantau dan sebarang perubahan selanjutnya akan diumumkan apabila keadaan mengizinkan.

Pintu air Neopanamax, yang mula beroperasi pada 2016, boleh menampung kapal yang terlalu besar untuk melalui pintu air asal terusan itu.

-- BERNAMA-XINHUA

 

Must Watch Video

Advertisement